suria

AirAsia Teruskan Inisiatif Kesedaran Perubahan Iklim Menerusi #GREEN24

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia meneruskan inisiatif kesedaran perubahan iklim dengan #GREEN24 Challenge untuk menggalakkan tindakan mampan yang membawa perubahan ketara kepada alam sekitar.

Sepanjang tempoh 24 jam dari 29 hingga 30 Januari, pejabat seluruh AirAsia Group akan menganjurkan pelbagai aktiviti dengan komuniti masing-masing.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif itu, orang ramai dijemput untuk menganjurkan projek komuniti pada 29 hingga 30 Januari (layari airasia.com/green24 untuk maklumat lanjut), dengan 24 penerbangan pergi balik AirAsia ke destinasi pilihan mereka untuk dimenangi oleh pemenang projek terbaik.

"Kami harap dapat mewujudkan lebih banyak kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia mengenai kesan perubahan iklim. 

"Ia bermula dengan mencari minat sebagai pemangkin untuk mewujudkan projek kemasyarakatan yang bermanfaat, dan setiap tindakan yang kita ambil akan membawa perubahan kepada planet kita," kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd Aireen Omar.

Kempen #GREEN24 AirAsia dilancarkan pada November lepas sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat syarikat penerbangan itu.

Aktiviti pertama -- membersihkan Air Terjun Hutan Hujan Kanching di Rawang -- dengan kira-kira 150 sukarelawan dari seluruh AirAsia Group dan Tune Group.

Mereka mengutip hampir 600 kilogram sampah hanya dalam tempoh 90 minit.-- Bernama


#GREEN24, AirAsia

Artikel Lain