suria

Kes Rahim Thamby Chik Didakwa Siar Penerbitan Menghasut Disebut Semula 1 Mac

Abdul Rahim Thamby Chik.

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa menetapkan 1 Mac bagi sebutan semula kes bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang didakwa menyiarkan penerbitan menghasut terhadap Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah sebagai murtad di akaun Facebook miliknya.

Hakim Slamat Yahya menetapkan tarikh itu sementara menunggu keputusan representasi kes berkenaan yang difailkan pihak pembelaaan Abdul Rahim, 65, pada 17 Disember tahun lepas.

Abdul Rahim didakwa melakukan kesalahan itu melalui akaun Facebooknya Rahim TambyChik di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada kira-kira 8 pagi, 25 Septembe lepas.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Abdul Rahim turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan menggunakan akaun Facebook miliknya untuk membuat dan memulakan penghantaran komen yang jelik sifatnya berhubung dakwaan sama dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di tempat, masa dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan ini, beliau didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketika ditemui pemberita, peguam Wan Azmir Wan Majid yang mewakili Abdul Rahim berkata pihaknya memfailkan surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara pada 17 Disember lepas bagi menggugurkan pertuduhan ke atas anak guamnya atas sebab beliau tidak mempunyai niat menghasut.

Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain