suria

Nahas Chiang Mai: Rancangan Adik Beradik Sambut Perayaan Dongzhi Tidak Kesampaian

Pesawat Royal Thai Airforce tiba di Pengkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan membawa jasad-jasad warga Malaysia yang terbabit dalam kemalangan di Chiang Mai, Thailand, awal pagi Rabu. -fotoBERNAMA

CHIANG MAI: Pasangan adik-beradik, Ong Chai Hong dan Ong Chui Hoe merancang untuk mengadakan majlis makan malam di kediaman mereka di Batu Pahat, Johor, bagi meraikan sambutan Solstis Musim Sejuk atau Dongzhi selepas pulang dari percutian di Chiang Mai.

Sebaliknya, anak lelaki mereka, Goh Chia Hwa dan Teo Choon Hwee terpaksa menuntut mayat ibu mereka di bilik mayat Hospital Mahajaraj Nakorn di Chiang Mai.

"Ibu bapa saya bercuti bersama-sama sekurang-kurangnya sekali setiap tahun, dan tahun ini mereka memilih Chiang Mai dan Chiang Rai.

"Pada 18 Disember, ibu menghubungi saya untuk memaklumkan mengenai rancangan makan malam mereka yang sepatutnya diadakan hari ini (Rabu). Itu kali terakhir saya berbual dengannya," kata Goh ketika ditemui di hospital pada Selasa.

Kedua-dua ibu mereka antara 13 rakyat Malaysia yang maut manakala beberapa lagi cedera apabila bas yang mereka naiki terbabas selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan pikap ketika dalam perjalanan dari wilayah Chiang Rai ke wilayah Chiang Mai.

Insiden berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi Ahad.

Goh dan Teo antara ahli keluarga mangsa yang tiba dari Malaysia pada malam Isnin untuk membuat pengecaman mayat dan barang milik mangsa.

Chai Hong, 58, dan Chui Hoe, 53, masing-masing ditemani suami mereka, Goh Bak Chai, 64, dan Teo Tien Chor.

Kedua-dua suami mangsa terselamat dalam insiden itu dan hanya mengalami kecederaan.

Namun, mereka masih belum dimaklumkan mengenai nasib isteri masing-masing.

"Saya masih tidak tahu bagaimana untuk memberitahu bapa saya (Bak Chai) dan saya syak dia mungkin sudah tahu ibu saya meninggal kerana menurutnya, dia pengsan semasa kejadian berlaku.

"Jalan terbaik adalah untuk membiarkan polis Thai menyiasat perkara ini. Saya amat berterima kasih kepada semua pihak berkuasa yang terlibat sama ada dari Malaysia mahupun Thailand. Mereka amat membantu kami," kata Chia Hwa.

Bagi Lum Kerxin, 23, dia masih tidak sampai hati untuk memberitahu adiknya, Jia Miem, 22, mengenai kematian bapa mereka, Lum See Seng, 63.

Ibu mereka, Ng Too Hiyok, 63, antara yang terselamat dalam insiden itu, masih menerima rawatan di hospital berasingan.

Kerxin hanya kedengaran memberitahu adiknya menerusi panggilan video bahawa ibu mereka dalam keadaan baik.

“Papa dan mama ok. Anda perlu kuat ok?," kata Kerxin kepada adiknya itu dalam bahasa Mandarin.

Kerxin berkata dia tidak tahu bagaimana untuk memaklumkan berita sedih itu kepada adiknya.

"Saya terlihat sekeping gambar kemalangan bas itu di Facebook dan salah satu gambar, saya terlihat kepala keluar dari tingkap yang kelihatan seperti bapa saya.

"Saya memilih untuk tidak mempercayainya dan mengharapkan yang terbaik tetapi dia sudah tiada," katanya ketika ditemui di luar bilik mayat.


nahas, Chiang Mai

Artikel Sebelum

Artikel Lain