suria

KPDNKK Umum 16 Jenis Barang Harga Terkawal Sempena Krismas

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah (kanan) memeriksa harga sayur-sayuran yang dijual di sebuah pasar raya di sini selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2015 Rabu. -fotoBERNAMA
KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memasukkan beberapa lagi barangan sebagai tambahan kepada 16 jenis barangan harga terkawal untuk dikuatkuasakan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2015, bermula Rabu dan berakhir pada 27 Disember 2015.

Barangan itu adalah kepak ayam, daging babi (perut), daging babi (daging dan lemak) serta babi hidup (kawalan peringkat ladang sahaja) dan hanya melibatkan keperluan penduduk di Sarawak, Sabah dan Labuan, khususnya bagi mereka yang menyambut perayaan Krismas.

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata pertambahan jumlah barangan itu dibuat berikutan permintaan tinggi daripada masyarakat setempat yang merupakan barangan keperluan bagi sambutan perayaan Krismas.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Krismas 2015 peringkat kebangsaan di sini hari ini, beliau berkata daging kambing tempatan bertulang digugurkan daripada senarai di seluruh Sarawak, Sabah dan Labuan kerana tidak mendapat permintaan tinggi semasa menyambut perayaan itu.

Kategori 16 barangan terkawal ini terdiri daripada ayam, telur ayam, sayuran, kambing serta babi dan dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Ahmad Bashah berkata penentuan harga barangan dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan setelah mendapat pandangan daripada badan bukan kerajaan (NGO), persatuan-persatuan pengguna, pihak industri serta agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.

"Para peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan oleh kerajaan dan meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakannnya dengan barangan lain," katanya.

Beliau berkata terdapat lebih 23,000 pegawai penguat kuasa kementerian, termasuk seramai 193 orang di seluruh Sarawak, akan membuat pemeriksaan di lokasi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar pagi dan pasar raya.

"Ini adalah tindakan berterusan dalam usaha melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan untung berlebihan oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan," katanya.

Artikel Lain