suria

Kaji Selidik Dapati Penghisap Vape Di Sekolah Rendah

Gambar hiasan menunjukkan model menghisap vape. Foto RAJA FAISAL HISHAN/TheStar

PETALING JAYA: Vaper atau pengguna rokok elektronik bermula pada usia muda, seawal di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah, menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Pegawai pendidikannya, N.V. Subbarow berkata, satu kaji selidik terhadap lapan sekolah rendah dan sekolah menengah di Pulau Pinang mendapati seramai 150 pelajar kerap menghisap rokok elektronik.

"Di kalangan mereka merupakan bukan pengisap rokok dan sebahagiannya menghisap vape dan rokok biasa," katanya.

Menurut beliau, pelajar memberitahu bahawa mereka mula menghisap vape kerana rakan-rakan sekolah melakukannya atau kerana mereka mahu menarik perhatian orang lain.

Beliau berkata, masalah yang berbangkit ialah tiada seorang pun di kalangan mereka mahu menghentikan tabiat itu dan memberikan alasan tidak kukuh untuk meneruskan tabiat itu.

Tambahnya, pelajar di kalangan penghisap rokok memberitahu bahawa mereka bukan menghisap vape sebagai cara untuk mengubah tabiat daripada menghisap rokok tembakau.

"Malah lebih buruk lagi apabila mereka yang hanya menghisap vape sekarang memberitahu saya bahawa mereka mungkin cuba untuk menghisap rokok sekiranya menghisap vape semakin membosankan," katanya.

Sehubungan itu, CAP mahu larangan terhadap rokok elektronik dan tabiat menghisap vape kerana ia membahayakan golongan muda, berbanding dikawal selia seperti yang diminta oleh pihak tertentu.

Kementerian Kesihatan baru-baru ini telah mengadakan serbuan dan merampas cecair vape yang mengandungi nikotin, yang disifatkan oleh pihak berkuasa sebagai ketagih dan racun.

Bagaimanapun, CAP memberitahu bahawa langkah tersebut tidak mencukupi.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Datuk Lok Yim Pheng berasa bimbang terhadap amalan menghisap vape yang mempengaruhi para pelajar.

Beliau berkata, NUTP turut bimbang mengenai kesan sampingan menghisap vape yang masih belum dikenal pasti.

Justeru, Yim Pheng menggesa Kementerian Pendidikan untuk tampil dengan garis panduan dan peraturan yang jelas.

Beliau menambah, malah guru-guru dan kakitangan lain tidak dibenarkan menghisap vape di kawasan sekolah.

The Star menemuramah beberapa pelajar di kalangan penghisap rokok elektronik.

Jaya Nashrif Nizam, 17, bukan perokok berkata, dia mula menghisap vape pada awal tahun ini sebagai cara untuk bersosial dengan rakan-rakannya.

"Saya melihat orang lain menghisap vape dan memutuskan untuk mencubanya," katanya.

Menurut Nashrif, dia bukan menghisap vape yang mengandungi nikotin, tetapi hanya perisan dan dia tidak menghidap vape semasa sesi persekolahan.

"Ibu saya menasihatkan saya untuk berhenti, tetapi saya dan kakak saya masih melakukannya," kata Nashrif.

Seorang pelajar berusia 17 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Raeb berkata, dia mula menghisap vape selepas rakan-rakannya mempengaruhinya untuk mencuba.

"Saya sebelum ini menghisap rokok, tetapi saya tidak menghisap vape untuk berhenti menghisap rokok," katanya.

Raeb berkata, dia mula menghisap rokok sejak setahun lalu dan ibu bapanya tahu mengenai tabiatnya itu.

Pelajar, Sean Lim, 16, berkata, dia mula beralih kepada menghisap vape untuk mengurangkan tekanan selepas belajar apabila ibu bapanya memberi tekanan supaya mendapatkan keputusan hanya A dalam peperiksaan.

Bagaimanapun Lim berkata, dia berhenti selepas dua bulan apabila dia mula berasa pening kepala yang teruk setiap kali menghisap vape walaupun cecair vapenya tidak mengandungi nikotin.

See Tian Huey, 16, berkata, seorang budak perempuan yang dikenalinya menghisap vape kerana ia lebih murah berbanding menghisap rokok biasa dan dia percaya ia tidak memberi kesan buruk.

Seorang pengawas sekolah, Kok Jo Yean, 16, memberitahu bahawa pelajar-pelajar yang menghisap vape akan melakukannya di dalam tandas sekolah.

vape, vaper, rokok, rokok eletronik

Artikel Lain