suria

Bekas Bankrap Terima Anugerah Perdana Menteri

KOTA SAMARAHAN: Pengarah urusan Al-Faiz Industries Sdn Bhd, Azhar Md Yusoff dipilih sebagai pemenang Anugerah Perdana Menteri Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Kebangsaan (HPPNK) 2015.

Di samping itu, syarikat milik beliau Al-Faiz Industries Sdn Bhd turut dipilih sebagai pemenang Anugerah Pemasar Tani Jaya Peringkat Kebangsaan Tahun 2015.

Sebagai pemenang Anugerah Perdana Menteri, beliau pulang dengan hadiah wang tunai RM60,000 dan trofi, di samping wang tunai RM30,000 sebagai pemenang Anugerah Pemasar Tani Jaya.

Sebelum ini Azhar yang berasal dari Jitra, Kedah turut pernah menerima Anugerah Pemasar Tani Jaya Peringkat Negeri Kedah Tahun 2015.

Ditemui selepas perasmian HPPNK 2015 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di sini, Sabtu beliau amat gembira kerana usahanya selama ini mendapat pengiktirafan.

Katanya, beliau amat bersyukur kerana akhirnya hajat beliau untuk berjaya dalam industri pertanian tercapai.

Walaupun saya dibankrapkan selama 13 tahun tetapi ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus berusaha dan bergelar jutawan dan saya juga sudah berjaya melahirkan seramai 15 orang usahawan Melayu bergelar jutawan, katanya sambil menitiskan air mata.

Dalam tempoh kebankrapan selama 13 tahun itu tiada agensi kerajaan mahupun bank yang mahu membantu saya, tetapi hasil daripada doa kedua orang tua saya serta sokongan dan bantuan rakan-rakan saya terus berusaha meneruskan perniagaan saya, tambah beliau.

Katanya, dengan bantuan pembekal mesin yang memberi kredit kepada beliau,  akhirnya beliau berjaya mengembangkan perusahaannya dan mencapai tahap jutawan pada 2011.

Menurut Azhar, beliau dibankrapkan pihak bank pada tahun 1998 dan dilepaskan pada tahun 2011.

Ditanya bagaimana beliau mampu bangkit dalam tempoh yang begitu singkat, Azhar berkata dalam perniagaan hari ini kita perlu ada inovasi untuk berjaya.

Mengenai perancangan masa depannya, Azhar berkata beliau akan meningkatkan latihan kepada pekerja-pekerja syarikatnya bagi melahirkan tenaga kerja mahir dan berkepakaran dalam bidang pengeluaran produk makanan.

Selain itu, katanya syarikat beliau juga akan mempertingkatkan pengiklanan melalui akhbar, majalah, internet, radio, telefon dan lain-lain medium agar produk yang dikeluarkan mendapat sambutan, seterusnya meningkatkan jualan.

Saya juga akan membawa dan menonjolkan produk roselle agar berupaya menembusi pasaran antarabangsa serta mencapai tahap ISO (International Organisation For Standardisation), katanya.

Syarikat Al-Faiz Industries Sdn Bhd merupakan sebuah syarikat pengeluar pelbagai jenis produk roselle seperti jus pekat roselle, minuman jus roselle, Halwa Roselle dan ubat gigi Roselle White.

Selain itu, kata Azhar syarikatnya turut mengeluarkan produk Pengeluar Peralatan Asal (OEM) untuk usahawan yang ingin mengeluarkan produk mereka sendiri.

Setakat ini kami mempunyai enam outlet perkhidmatan pemasaran di utara Malaysia untuk memudahkan pemasaran produk keluaran Syarikat Al-Faiz Industries Sdn Bhd, tambahnya.

Berikut adalah senarai penuh pemenang bagi kategori anugerah lain: Peladang Jaya Lelaki  Anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Pemenang: Saipol Azimir Zainuddin  Asal: Kampung Tali Air, Banting, Selangor; Peladang Jaya Wanita  Anjuran LPP Tengku Faridah Tengku Hussain Asal: Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang; Nelayan Jaya  Anjuran: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Ibrahim Abdullah  Asal: Kampung Peramu, Kuantan, Pahang.

Penternak Jaya  Anjuran: Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Mohamad Yahya  Asal: Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Ulu Bakri, Muar Johor; Penternak Ikan Jaya  Anjuran: Jabatan Perikanan, Kong Shian Pin  Asal: Teluk Kaong, Batang Ai, Sri Aman, Sarawak Jenis bidang usaha: Ternakanan ikan air tawar dalam sangkar; Agropreneur Muda Jaya  Anjuran Unit Agropreneur Muda MOA, Mohd Shukri Mohd Zahit Asal: Taman Peramu 7, Kuantan, Pahang.

Anugerah Unit Peladang Jaya  Anjuran LPP Unit Peladang Tanjung Bidara, Melaka; Kumpulan Tani Komersial Jaya Anjuran Jabatan Pertanian, Projek TKPM Titi Gantong, Bota, Perak; Kumpulan Wanita Jaya Anjuran Jabatan Pertanian, Kumpulan Pengembangan Wanita (KPW) Daerah Larut Matang dan Selama, Taiping, Perak.

Pertubuhan Peladang Jaya Anjuran LPP, Pertubuhan Peladang Kawasan Pasir Panjang, Sekinchan, Selangor; Persatuan Nelayan Kawasan Jaya Anjuran LKIM, Persatuan Nelayan Kawasan Buntal, Kuching, Sarawak; Anugerah Inovasi Pertanian dan Industri Asas Tani Jaya Anjuran Mardi, Honeygold Enterprise Pemilik: Mohd Zulkifli Mustafa  Alamat: Kampung Kepulau, Palekban, Tumpat, Kelantan dan Anugerah Pemasar Tani Jaya Anjuran Fama Al-Faiz Industries Sdn Bhd  Kawasan Industri IKS, Sungai Korok, Jitra Kedah Pemilik: Azhar Yusoff. -- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain