suria

Mangsa Banjir Di Perak Terus Meningkat

Keadaan rumah penduduk yang ditenggelami air di Lorong Mesra Batu 7 1/2 Kampung Changkat Jong, Teluk Intan. -fotoBERNAMA
IPOH: Jumlah mangsa banjir di sekitar Perak terus meningkat kepada 410 orang daripada 120 keluarga setakat 8 pagi Jumaat berbanding 404 orang pada Khamis.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Datuk Yahya Madis berkata kesemua mangsa banjir masih berada di empat pusat pemindahan dan paras air di kawasan terbabit, sedalam 0.1 meter hingga 3.05 meter.

Beliau berkata mangsa terbaharu di daerah Bagan Serai iaitu di Lebai Kadir, Mat Keling, Air Hitam Dua dan Simpang Lima dengan 15 orang daripada tujuh keluarga manakala di Kampung Ali Kalang meningkat kepada 16 orang daripada lima keluarga.

Kesemua mereka dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Bukit Merah.

"Mangsa banjir di Kampung Changkat Lobak, Kampung Permatang Tengah dan Parit Air Hitam terus meningkat kepada 139 orang daripada 33 keluarga dan ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak," katanya ketika dihubungi hari Jumaat.

Beliau berkata mangsa banjir di Batu 38 dan 40, Kampung Beriah dan Parit Abu Hassan di Bagan Serai juga terus meningkat kepada 120 orang daripada 37 keluarga.

Yahya berkata mangsa banjir di daerah Hilir Perak kekal 56 orang daripada 16 keluarga membabitkan Kampung Mesra Batu 7, Changkat Jong, Teluk Intan, Kampung Lorong Mesra, Batu 9 dan Kampung Lorong dan kesemua mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, Teluk Intan.

"Mangsa tanah runtuh di Pantai Remis menurun kepada 64 orang daripada 22 keluarga berbanding 83 mangsa daripada 22 keluarga dan mereka masih berada di Sekolah Agama Rakyat Kampung Padang Serai," katanya.

Beliau berkata agensi yang terlibat membantu mangsa banjir ialah JBPM, RELA, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Artikel Lain