suria

Sembilan Kolej Swasta Terima Penarafan Enam Bintang

KUALA LUMPUR: Sembilan kolej swasta menerima penarafan enam bintang bagi kategori berasaskan kolej melalui Sistem Penilaian Kualiti Kolej Swasta Malaysia (MyQUEST) 2014/2015.

Kolej berkenaan ialah Kolej KDU Kampus Pulau Pinang, Kolej SEGi Subang Jaya, Kolej Sunway Kuala Lumpur, Kolej Taylor Subang Jaya, Kolej Kesihatan Ramsay Sime Darby, Kolej Taylor Sri Hartamas, Kolej Teknologi Timur, Institut Teknologi Maklumat Asia Pasifik (APIIT) dan Kolej Stamford Petaling Jaya.

Sijil penarafan itu disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, di sini Khamis.

MyQUEST yang diadakan dua tahun sekali sejak 2011 ialah sistem penilaian dan penarafan bagi mengukur kualiti institusi, program dan amalan institusi pengajian tinggi swasta bertaraf kolej.

Dalam penilaian MyQUEST 2014/2015, sebanyak 238 daripada 406 kolej swasta yang berdaftar dengan Jabatan Pendidikan Tinggi menyertai penarafan itu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 199 kolej swasta diberi penarafan daripada 235 kolej swasta yang layak diaudit.

Sementara itu, Idris dalam ucapannya berkata MyQUEST 2014/2015 menunjukkan peningkatan pencapaian bagi kategori berasaskan kluster, di mana 50 peratus kolej swasta yang diaudit berjaya menerima penarafan empat hingga enam bintang.

"Peningkatan dalam penarafan itu bukan sahaja membantu meningkatkan reputasi kolej, sebaliknya ia juga dapat meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap keupayaan negara menyediakan pendidikan tinggi berkualiti," katanya.

Artikel Lain