suria

PAS Sanggup Kerjasama Dengan 'Musuh'

Datuk Ahmad Yakob
KOTA BARU: PAS akan bekerjasama walaupun dengan 'musuh' selagi berada dalam lingkungan prinsip Islam.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata, tidak menjadi satu kesalahan untuk bekerjasama dalam platform tunggal yang akan membawa kebaikan kepada rakyat.

"Tetapi jangan salah faham...usaha kita untuk menjatuhkan kerajaan BN masih berterusan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini, Rabu.

Beliau memberi contoh bagaimana kerajaan Kelantan bekerjasama untuk memenuhi keperluan mangsa banjir Disember lalu.

Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Selasa bahawa PAS bersedia untuk bertemu dan bekerjasama dengan kerajaan Barisan Nasional.

Abdul Hadi bagaimanapun berkata, langkah itu bukan ke arah membentuk kerajaan perpaduan kerana kerjasama antara parti itu dan kerajaan Persekutuan sebelum ini telah wujud.

Menjawab soalan tidak berkaitan, Ahmad berkata, kerajaan Kelantan membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat dakwaan bahawa 4,500 hektar hutan telah diberikan kepada kroni PAS.

"SPRM boleh menyiasat perkara itu, kita tiada apa yang hendak disembunyikan," katanya.

Seorang individu bernama Mohd Afiq Ayob membuat laporan kepada SPRM, mendakwa salah guna kuasa oleh pemimpin-pemimpin PAS tertentu dan kerajaan Kelantan.
kerjasama, PAS-BN, Datuk Ahmad Yakob

Artikel Lain