suria

Dasar Kesederhanaan, Toleransi, Persefahaman Penting Kekang Keganasan - Najib

Najib pada majlis makan malam Persatuan Pertubuhan Bangsa Bersatu Malaysia (UNAM) di Kuala Lumpur, malam Selasa. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Dasar kesederhanaan, toleransi dan persefahaman adalah penting untuk memerangi keganasan terutama dalam masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Perdana Menteri berkata, Malaysia dan rakan-rakan dalam Asean juga percaya bahawa menangani gejala keganasan memerlukan strategi yang komprehensif dan jangka panjang.

"Tindakan ketenteraan semata-mata tidak mencukupi tanpa menangani punca sebenar ia berlaku dan mengamalkan pendekatan pelbagai hala," katanya dalam ucaptama bertajuk 'Menangani Keganasan Global: Peranan Asean', pada majlis makan malam Persatuan Pertubuhan Bangsa Bersatu Malaysia (UNAM), di sini malam Selasa.

Perdana Menteri berkata selama berabad-abad, Asia Tenggara diperkayakan melalui asimilasi dan integrasi penduduk berlainan bangsa dan tradisi, dengan budaya yang sentiasa mengalu-alukan dan mendapat manfaat hasil daripada kepelbagaian.  

"Kita di Malaysia dan Asean harus berusaha untuk mengekalkan cara hidup ini dan menolak ekstremisme," kata Najib.

Najib juga percaya bahawa Malaysia dan negara Asean lain berada dalam keadaan siap siaga paling baik untuk menangani ancaman tersebut.

Beliau berkata langkah-langkah pencegahan, berwaspada, kesedaran awam dan kempen anti radikalisme, bersama dengan program pemulihan yang berkesan semuanya adalah perlu untuk memerangi ancaman ekstremisme dan keganasan.

Perdana Menteri berkata, pendidikan juga memainkan peranan penting supaya generasi muda diajar asas sebenar mengenai Islam dan agama lain, yang mendukung keamanan dan keadilan.

"Sebaliknya, demokrasi yang lengkap dengan tadbir urus yang baik, keadilan sosial dan pendekatan inklusif terhadap pembangunan ekonomi dan sosial adalah hala tuju yang terbaik," katanya.

Perdana Menteri berkata, pendekatan yang sama juga perlu diamalkan dalam masjid, gereja dan tempat ibadat lain bagi menjelaskan dengan sebenar-benarnya bahawa tiada tempat untuk ekstremisme dan ketaksuban dalam masyarakat.

Sementara itu, Najib berkata, inisiatif beliau mengenai Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) adalah relevan pada masa ini, sejak ia mula diumumkan lima tahun lepas.

"Ia telah diterima baik di peringkat antarabangsa dan pada April tahun ini, Asean memperakui Deklarasi Langkawi mengenai GMM, dengan negara anggota bersetuju mengadakan program dan dialog antara agama dan budaya di peringkat antarabangsa, serantau dan nasional," katanya.

Najib berkata, mereka bersetuju mempromosikan pendidikan untuk memupuk rasa hormat dalam kehidupan, kepelbagaian dan nilai-nilai kesederhanaan, toleransi, tanpa kekerasan dan persefahaman bersama.

"Ini akan terus menjadi sebahagian daripada teras perjuangan kita menentang keganasan dan IS," katanya.

Beliau juga berkata, Akta Pencegahan Keganasan yang diluluskan di Parlimen awal tahun ini, adalah perlu untuk memerangi ancaman itu di Malaysia. - Bernama

Artikel Lain