suria

Broker Kereta Dituduh Beri Maklumat Palsu Kepada SPRM

Mohamad Azhan Hamza (ditutup muka) berjalan masuk ke kamar mahkamah untuk menghadapi pertuduhan memberi penyataan palsu kepada SPRM, Rabu.

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Jenayah Komersial di sini berhubung kesalahan memberi penyataan palsu dalam siasatan.

Difahamkan, kes membabitkan anak pegawai kanan polis Bukit Aman itu dikendalikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tahun lalu.

Mohamad Azhan Hamza, 31, yang juga broker kereta, dituduh mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Azhan didakwa melakukan kesalahan memberi penyataan palsu kepada pegawai SPRM, Mohamad Farid Jabar, dalam penyataan di bawah Seksyen 32(2)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, berhubung siasatan yang dijalankan SPRM.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 16 Julai 2014, antara pukul 1.45 petang hingga 6.30 petang di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Mengikut pertuduhan, bagi soalan "berapa biji kereta yang kamu telah jual melalui 'dealer' kereta di TTDI Cars, Melinium Auto di Sentimas Sdn Bhd tersebut", Mohamad Azhan didakwa menjawab "dari  2008 sehingga 2013, lebih kurang 50 biji."

Mohamad Azhan didakwa memberi penyataan palsu berhubung jumlah kereta yang dijual melalui pengedar kereta di TTDI Cars, Melinium Auto dan di Sentimas Sdn Bhd.

Jika sabit kesalahan, Mohamad Azhan boleh dihukum mengikut Seksyen 32(8)(c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 iaitu denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes bagi pihak SPRM dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Liyana Shahrir.

Hakim Norsharidah Awang membenarkan Mohamad Azhan diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 November 2015 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel Lain