suria

Nizar Dilepas, Dibebas Selepas Mohon Maaf Kepada PM

Mohammed Nizar Jamaluddin.

IPOH: Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammed Nizar Jamaluddin dilepas dan dibebaskan daripada saman fitnah selepas beliau membuat permohonan maaf kerana membuat kenyataan memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jering itu memohon maaf secara terbuka kepada Najib di hadapan hakim, Ikmal Hishan Mohd Tajuddin di Mahkamah Sesyen di sini, Rabu.

"Berdasarkan kenyataan yang dibuat terhadap perdana menteri, saya menyedarinya ia tidak berasas.

"Sehubungan itu, saya memohon maaf kepada beliau," katanya di mahkamah.

"Saya akan sentiasa berhati-hati dengan kenyataan saya dan ia tidak akan berlaku lagi," tambahnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Yusaini Amer Abdul Karim berkata, Nizar turut menghantar surat permohonan maaf kepada Najib pada 22 Oktober lalu.

Beliau berkata, Najib telah menerima surat berkenaan dan meminta supaya kes tersebut diselesaikan menerusi permohonan maaf secara terbuka.

Nizar didakwa memfitnah Najib pada perhimpunan di Taman Desa Pakatan di sini pada 23 April lalu 2012. 

Beliau didakwa pada Januari tahun ini. 

Mohammed Nizar Jamaluddin

Artikel Lain