suria

Najib Tunjuk Kesetiaan Kepada Pak Lah - Salleh Keruak

Salleh Said Keruak.

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak menunjukkan kesetiaan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi apabila pemimpin itu hebat dikritik oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata demikian bagi menolak versi bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai bagaimana Najib menggantikan Abdullah.

"Mungkin Muhyiddin lupa semasa Dr Mahathir bukan lagi menjadi Perdana Menteri dan mula mengkritik Abdullah, Najib secara terbuka menunjukkan kesetiaannya bersama Perdana Menteri," katanya dalam kenyataan di blog, Ahad.

Salleh berkata, Muhyiddin bagaimanapun mengatakan beliau tidak berbuat apa-apa untuk mempertahankan Abdullah.

Muhyiddin pada forum di Johor pada Sabtu mengaitkan bagaimana beliau meyakinkan Najib untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan ia merupakan apa yang dimahukan oleh Dr Mahathir.

Muhyiddin turut mendakwa Najib teragak-agak untuk membuat keputusan.

Bagaimana kata Salleh, apa yang Muhyiddin tidak menyebut dalam cerita itu ialah Najib tidak mahu mengkhianati Perdana Menteri dengan menentangnya.

"Najib merasakan timbalan perlu setia kepada pemimpin nombor satu. Jadi, bukanlah sebab Najib mengambil masa untuk membuat keputusan tetapi ia lebih kepada Najib tidak mahu menyingkirkan Perdana Menteri.

"Jika Muhyiddin mahu mengaitkan sejarah jadi pastikan ia adalah versi sejarah yang betul," katanya.

Salleh turut mengingatkan Muhyiddin bahawa "kepercayaan dan rasa hormat perlu dicari, bukan diminat, apabila Muhyiddin mengadu mengenai Najib telah meminggirkan beliau dan tidak lagi mengamanahkan dengan tugas mempengerusikan mesyuarat sebelum ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain