suria

"Saya Protes BN Dalam Duduk" - Nik Abduh

PETALING JAYA: Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz tampil menjawab kritikan berhubung tindakannya tidak menyertai majoriti Ahli Parlimen pembangkang yang mempersoalkan isu dana RM2.6 bilion di Dewan Rakyat Jumaat lalu.

Jelas Ahli Parlimen Pasir Mas itu, beliau tidak perlu menyertai mana-mana pihak untuk menentang musuh politik PAS iaitu Barisan Nasional (BN).

"Saya boleh protes BN dalam duduk, berdiri dan dalam rebah pun. Saya tak perlu bersama atau dengan sesiapa untuk menentang pengkhianat.

"Saya hanya perlu bersama rakyat selepas Allah," katanya menerusi kenyataan status yang dimuat naik di Facebook pada Ahad.



Jumaat lalu, sesi pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berakhir dengan kekecohan apabila wakil rakyat pembangkang bangun sambil mengangkat plakad "Mana RM2.6 Bilion?".

Bagaimanapun menerusi gambar yang dikongsi di media sosial, Nik Mohamad Abduh dan Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan dilihat tidak bangun dan mengangkat plakad tersebut tanda protes.

Sebaliknya dua wakil rakyat PAS, Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena) dan Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang) menyertai wakil rakyat Pakatan Amanah yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) mempersolkan dana yang disalurkan ke akaun peribadi Najib.

Nik Mohamad Abduh Nik Mat, PAS

Artikel Berikut

Artikel Lain