suria

Lima Destinasi Pelancongan Di Langkawi Dapat Persijilan MYTQA

LANGKAWI: Sebanyak lima destinasi pelancongan di Langkawi diberikan persijilan Jaminan Kualiti Menyeluruh Malaysia (MyTQA) yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Timbalan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Rashidi Abdullah, berkata destinasi itu ialah Langkawi Cable Car yang termasuk Oriental Village, Underwater World, Taman Hidupan Liar Langkawi, Kilim Karst Geopark, dan Kompleks Kraftangan Langkawi.

Menurutnya, proses persijilan berdasarkan jaminan kualiti dan piawaian Pertubuhan Standard Antarabangsa (ISO) itu telah dimulakan tahun ini dengan Langkawi dipilih sebagai projek printis sebelum diperluaskan ke seluruh negara.

"Ini adalah satu standard untuk (menilai produk-produk pelancongan di) Malaysia," katanya kepada pemberita selepas melawat Taman Teknologi Agro Institut Kajian dan Pembangunan Pertanian Malaysia (Mardi) di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata Taman Teknologi MARDI Langkawi adalah di antara empat lagi destinasi lain yang sedang dinilai oleh kementeriannya untuk mendapat persijilan itu.

Rashidi berkata kementeriannya telah memperuntukkan sebanyak RM2.6 juta kepada Taman Teknologi MARDI Langkawi bagi tujuan menambahbaik fasiliti taman berkenaan untuk menarik lebih ramai pelancong. 

"Kita bekerjasama rapat dengan pihak MARDI untuk menaik taraf lagi tempat ini supaya di masa akan datang projek ini akan dapat lagi diperkembangkan supaya ia dapat menjadi produk agro pelancongan yang terulung di negara kita," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr Sharif Haron berkata seramai 100,000 pelancong disasarkan akan melawat taman ini dalam tahun ini. -- Bernama


Artikel Lain