suria

Buruh Ditahan Miliki Pistol Palsu, Dadah Di George Town

GEORGE TOWN: Polis menahan seorang lelaki dan merampas sepucuk pistol palsu serta sejumlah dadah jenis ganja di sebuah pondok di tepi Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Jelutong di sini, Sabtu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, bertindak hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis telah membuat pemerhatian di hadapan sebuah pangsapuri kira-kira pukul 4.50 petang sebelum ternampak lelaki berusia 30 tahun itu dalam keadaan mencurigakan.

"Polis kemudiannya mengekori lelaki yang menunggang motosikal itu sehingga sampai di hadapan pondok di tepi lebuhraya berkenaan sebelum anggota memperkenalkan diri dan membuat pemeriksaan," katanya di sini, Ahad.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan polis menemui sepucuk pistol plastik bertulis Sig Sauer P2022 disyaki palsu berwarna hitam yang diselit pada pinggang lelaki itu.

Katanya pemeriksaan dalam jaket hitam dipakainya turut menjumpai sebungkus plastik mengandungi ketulan daun kering disyaki dadah jenis ganja.

Mior Faridalatrash berkata, siasatan awal mendapati lelaki yang bekerja sebagai buruh di majlis perbandaraan itu mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

"Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk motif dia menyimpan pistol palsu berkenaan dan daripada mana suspek mendapatkan bekalan dadah," katanya.

Polis tidak menolak kemungkinan lelaki itu anggota sindiket pengedaran dadah di sekitar daerah itu, katanya.

Beliau berkata lelaki yang positif dadah itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)a Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960.  -- Bernama


pistol, dadah, Jelutong

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain