suria

Sijil Halal, Pengawasan Perlu Buat Muslim Di China

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Terdapat keperluan untuk pensijilan standard halal dan pengawasan yang memenuhi keperluan masyarakat Muslim di China bagi memastikan barang makanan dan produk yang digunakan mereka benar-benar halal dan boleh dimakan dengan penuh ketenangan, kata Prof Ramadhan Ma Qiang dari Shaanxi Normal University, China.

Beliau berkata peraturan berkaitan penyediakan makanan halal di China berbeza-beza berdasarkan kawasan dan kumpulan etnik Muslim berikutan kekurangan piawaian halal.

"Justeru, penyeragaman makanan dan barangan halal mengikut garis panduan pemakanan Islam yang ketat sangat penting untuk kegunaan semua umat Islam," katanya.

Ma berkata pengawasan halal juga perlu diletakkan di bawah bidang kuasa organisasi Muslim untuk memastikan makanan yang diproses dan disediakan mengikut peraturan syariah Islam.

Menurut Ma, sehingga kini, tidak ada kuasa yang khusus mengendalikan perkara itu di negaranya dan setem kelulusan halal boleh diberi oleh banyak pihak berkuasa Islam, termasuk pengurusan masjid.

Beliau berkata peranan yang dimainkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam menetapkan peraturan yang ketat ke atas pensijilan halal, menjadi satu-satunya pihak berkuasa kerajaan yang bertanggungjawab terhadap perkara itu.

"Dan pengurusan seperti inilah yang kami mahukan di China," katanya.

Seminar sehari itu dianjurkan bersama oleh Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya dan Institut Kong Zi.

Pengarah Institut Kong Zi Prof Madya Datuk Dr Azarae Idris berkata objektif program itu adalah untuk menjelaskan mengenai amalan keagamaan dalam kalangan umat Islam di China pada masa ini.

"Ia berfungsi sebagai platform untuk membincangkan mengenai amalan sebenar Islam di China dalam pelbagai aspek seperti kepercayaan, ibadah ritual, perhubungan sosial, kepenggunaan dan lain-lain," katanya. - BERNAMA

sijil halal, China

Artikel Lain