suria

Jerebu: Kuliah, Tutorial USM Diteruskan Seperti Biasa Hari Ini

GEORGE TOWN: Sesi kuliah, tutorial dan aktiviti dalam bangunan di Universiti Sains Malaysia (USM) diteruskan seperti biasa pada Jumaat di semua kampus USM berikutan trend penurunan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang ketara di Pulau Pinang.

Pendaftar USM Siti Zubaidah A. Hamid berkata bagaimanapun larangan mengadakan aktiviti di luar masih berkuatkuasa.

"Kita bersyukur dengan keadaan jerebu yang lebih baik dari semalam dan meminta semua aktiviti akademik di dalam bangunan termasuk kuliah dan tutorial serta makmal diteruskan, namun masih menasihati dan melarang warga kampus dari mengadakan akliviti luar yang boleh menjejaskan kesihatan," katanya dalam kenyataan di sini Jumaat.

Pada Khamis, USM menangguhkan semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran (kuliah dan tutorial) serta aktiviti luar berikutan keadaan jerebu yang semakin buruk dan IPU di kawasan tersebut mencatatkan bacaan sangat tidak sihat.

Pada Jumaat, terdapat peningkatan terhadap kualiti udara di negeri itu dan menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, bacaan IPU di USM yang kini berada pada tahap tidak sihat terus menurun setakat 8 pagi Jumaat iaitu 164.

Bacaan di Seberang Jaya pula 176 dan Perai 151.

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Siti Zubaidah menasihatkan warga kampus untuk terus berhati-hati dan pihak universiti akan terus memantau secara berterusan keadaan jerebu yang masih melanda negara.

Bilik Operasi Jerebu di Pusat Sejahtera USM akan terus beroperasi dan warga kampus dinasihatkan mengikuti perkembangan semasa dari laman-laman sesawang rasmi dan laman sosial Facebook USM, katanya. - BERNAMA

USM, kuliah, jerebu

Artikel Berikut

Artikel Lain