suria

Sekolah Dibuka Esok, Kecuali Di Perlis, Perak Dan P.Pinang

PUTRAJAYA: Semua sekolah di Perlis, Pulau Pinang dan Perak perlu ditutup lagi esok berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) masih pada tahap tidak sihat dan sangat tidak sihat.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata penutupan itu melibatkan 1,600 sekolah dan 728,739 murid.

Kedah turut mencatat bacaan IPU sangat tidak sihat tetapi Jumaat adalah cuti hujung minggu bagi negeri itu.

Sementara itu, sekolah di Negeri Sembilan, Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Bentong (Pahang) serta Kuching, Sri Aman, Samarahan dan Betong (Sarawak) yang ditutup hari ini perlu dibuka seperti biasa esok.

"Dalam hal ini, sekolah hendaklah sentiasa mengingatkan dan menasihati murid agar menjaga kesihatan seperti memakai topeng penutup mulut dan hidung semasa di sekolah," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, guru dan kakitangan di sekolah yang ditutup masih boleh hadir ke sekolah dalam tempoh penutupan untuk merancang dan menyelesaikan tugas mereka tanpa sebarang paksaan oleh pengurusan sekolah.

Dalam tempoh penutupan itu, guru juga disaran memanfaatkan platform Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) bagi membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran kepada murid terus berjalan.

Kementerian Pendidikan memaklumkan arahan penutupan itu juga adalah tertakluk kepada semua sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan.

"Bagi sekolah swasta yang berdaftar dengan kementerian, mereka juga tertakluk dengan arahan ini, namun sekiranya sekolah berkenaan ingin meneruskan persekolahan, mereka perlu mematuhi peraturan dan garis panduan," katanya.

Setakat pukul 5 petang tadi, enam kawasan mencatatkan IPU sangat tidak tidak sihat iaitu Sungai Petani (244), Seberang Jaya, Perai (239), Alor Setar (237), Langkawi (235), Kangar (224) dan USM, Pulau Pinang (210).

Semua kawasan di Perak pula mencatatkan bacaan IPU tidak sihat antara 124 hingga 169.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dianggap baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan 301 dan ke atas (berbahaya).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain