suria

"Moot Court" SPRM Abadi Nama Kevin Morais

Nama Kevin Morais bakal diabadikan pada Moot Court di Maca Oktober ini.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengabadikan nama mendiang Anthony Kevin Morais di Moot Court Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (Maca) di ibu negara.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata, ia bagi menyanjung dedikasi tinggi dan menghargai sumbangan yang diperlihatkan mendiang Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan itu selama berkhidmat dengan SPRM.

"Majlis khas mengenang sumbangan mendiang dengan menamakan Moot Court Kevin Morais akan diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-48 Badan Pencegah Rasuah/SPRM pada 1 Oktober ini," katanya menerusi kenyataan di sini, Sabtu.

Moot Court atau mahkamah olok-olok di Maca dikendalikan Kluster Perundangan dan Pendakwaan dalam menyediakan program latihan berkaitan dengan perundangan dan pendakwaan kepada pegawai SPRM yang mengikuti latihan asas siasatan dan perundangan.

Mohd Shukri berkata, tragedi yang menimpa mendiang Kevin Morais tidak mematahkan semangat pegawai SPRM yang terlibat dalam siasatan kes rasuah.

Menganggap kejadian itu sebagai dugaan kepada suruhanjaya itu, beliau berkata, pihaknya akan terus menyiasat kes membabitkan seorang doktor hospital tentera yang dipercayai ada kaitan dengan kematian mendiang.

Beliau turut memaklumkan, susulan ketiadaan mendiang, urusan pendakwaan kes yang dimaksudkan akan dikendalikan seorang Timbalan Pendakwa Raya kanan yang kini berkhidmat di SPRM.

"Dedikasi dan komitmen mendiang akan menjadi semangat kepada pegawai-pegawai SPRM untuk meneruskan misi SPRM, khususnya dalam kes rasuah membabitkan doktor hospital tentera kendalian mendiang," katanya.


 
 
Moot Court Kevin Morais, SPRM, Maca

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

PM Lawat Haron Din Di IJN

Artikel Lain