suria

Khairuddin Rancang Temui FBI Di New York

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang ditahan pada petang Jumaat, dijadual bertemu ejen Biro Siasatan Persekutuan, (FBI) di Amerika Syarikat, Isnin ini, demikian menurut laporan New York Times (NYT).

Perkara itu disampaikan peguamnya, Mathias Chang menerusi temuramah melalui telefon dengan akhbar berkenaan.

Menurut Chang, temujanji bagi mengemukakan beberapa dokumen berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu dibuat dengan bantuan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, pemergian Khairuddin bersamanya itu bagaimanapun gagal, kerana Jabatan Imigresen menghalang mereka meninggalkan negara ini susulan arahan Bukit Aman.

Khairuddin ditahan mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana menjejaskan amalan demokrasi berparlimen.

Pada pagi Sabtu, pihak polis mengesahkan Khairuddin direman enam hari.

Sebelum ini, Khairuddin menerusi laman Facebook peribadinya, memaklumkan pihak polis meminta beliau hadir ke Bukit Aman pada Isnin untuk diambil keterangan berhubung tindakannya menyerahkan bukti kepada pihak berkuasa Switzerland berhubung 1MDB.

Khairuddin Abu Hassan, FBI, New York

Artikel Sebelum

PM Lawat Haron Din Di IJN

Artikel Berikut

16 Ditahan Terbabit Judi Haram

Artikel Lain