suria

Malaysia Dapatkan Maklumat Terperinci Pampasan Jemaah Haji Terkorban

MAKKAH: Malaysia akan mendapatkan maklumat lengkap daripada kerajaan Arab Saudi berhubung laporan tentang pembayaran pampasan kepada jemaah yang terkorban dalam kejadian kren tumbang di Masjidil Haram, Jumaat lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata bagi pihak kerajaan Malaysia, beliau menyanjung tinggi keprihatinan kerajaan Saudi terhadap mangsa yang terkorban dalam kejadian yang turut membabitkan lima jemaah Malaysia setakat ini.

"Saya akan hubungi Menteri Haji Arab Saudi untuk tujuan perincian dan maklumat yang lengkap (berhubung) pengumuman itu," katanya kepada pemberita Malaysia selepas mengadakan perjumpaan dengan jemaah haji Malaysia di Maktab jemaah haji di bangunan Raudhat Al Syorouk, di sini.

Dalam tragedi kren tumbang yang mengorbankan lebih 100 nyawa itu, lima jemaah Malaysia disahkan terkorban, manakala dua lagi masih dilaporkan hilang.

Lima yang terkorban ialah Rusiah Suar, 56, dari Sungkai, Perak; Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, dari Tanah Merah; Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai; dan Munah Jusoh, 73, dari Cherang Ruku; dan Zainun Taha, 69, dari Ampang, Selangor.

Menurut laporan Saudi Press Agency, Penjaga Dua Kota Suci Raja Salman telah memerintah pembayaran jumlah besar kepada keluarga mereka yang terkorban dan cedera dalam tragedi itu.

Baginda mengumumkan pembayaran SR1 juta (RM1.14 juta) kepada setiap keluarga mangsa, SR1 juta kepada mereka yang cedera hingga mengakibatkan hilang upaya kekal, dan SR500,000 kepada tiap seorang yang cedera.

Jamil Khir bersama Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim tiba di Arab Saudi Isnin lepas bagi memastikan segala usaha mencari dua lagi jemaah yang masih hilang itu berjalan lancar.

Mereka juga memberi perhatian khusus kepada jemaah haji yang tercedera serta sokongan moral kepada jemaah haji yang lain.

Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Zainol Rahim Zainuddin.

Berkenaan dua jemaah haji Malaysia yang masih hilang itu, Jamil Khir berkata Tabung Haji (TH) dan pihak Muassasah Asia Tenggara masih dalam proses membuat pengecaman jenazah di rumah mayat Muaissem di Mina.

"Tabung Haji akan turut membawa waris dan keluarga jemaah yang hilang dari Malaysia dalam tempoh terdekat ini untuk proses pengecaman jenazah dari segala sudut termasuk melakukan ujian DNA dan biometrik," katanya.

Beliau berkata TH juga akan melakukan badal haji untuk jemaah yang terkorban dalam kejadian berkenaan.

kren tumbang, Makkah, TH

Artikel Berikut

Artikel Lain