suria

KBS Sasar 50 Peratus Rakyat Malaysia Aktif Bersukan

PETALING JAYA:  Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan peningkatan sebanyak 50 peratus rakyat Malaysia aktif bersukan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, untuk mencapai sasaran tersebut, lebih ramai rakyat Malaysia perlu melakukan aktiviti kecergasan diri sebanyak dua hingga tiga kali seminggu.

"Ia meningkat sebanyak 10 peratus berbanding lima tahun lalu, jadi ia naik dari 30 hingga 40 peratus.  Oleh itu saya berikan lingkungan 30  hingga 40 peratus tetapi sasarannya adalah peningkatan kepada 50 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

"Ini bermaksud lebih ramai rakyat Malaysia keluar bersukan, dua hingga tiga kali seminggu, kekal aktif dan melakukan sesuatu seperti berjalan kaki, berlari dan berbasikal," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan temu bual dalam segmen Ceria Pagi Suria mengenai sambutan Hari Sukan Negara bersama stesen radio Suria FM, anak syarikat Star Media Group Berhad di sini  pagi Isnin.

Menurut Khairy, bagi mencapai sasaran tersebut program Fit Malaysia yang diketengahkan  dalam sambutan Hari Sukan Negara cuba menjadikan sukan lebih mudah disertai setiap lapisan masyarakat.

"Saya tidak mahu orang ramai memberikan alasan tiada padang, kos mahal untuk pergi ke gim dan sebagainya.

"Itu sebabnya, program Fit Malaysia adalah mengenai larian, aktiviti kecergasan, kelas asas seni mempertahankan diri dan berbasikal jika anda ada basikal," katanya.

Khairy berkata, sesiapa sahaja boleh melakukan program riadah dan aktiviti sukan dengan hanya menggunakan sepasang kasut dan baju sukan.

"Anda boleh berjalan, anda boleh berlari, apa yang anda perlukan adalah sepasang kasut dan baju sukan serta anda bersedia untuk bersukan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai Hari Sukan Negara yang akan diadakan pada 10 Oktober depan, Khairy berkata, kementerian menyasarkan penganjuran itu akan mendapat penyertaan lebih tiga juta peserta.

"Kami dapat berita baik daripada Kementerian Pendidikan, tarikh itu adalah hari persekolahan. Jadi kira-kira lima juta pelajar sekolah di seluruh Malaysia akan melakukan aktiviti sukan pada hari itu.

"Malah Jabatan Penjara juga akan melibatkan semua banduan dengan program sukan. Ia adalah sambutan sukan di kalangan ramai rakyat Malaysia. Saya katakan tiga juta peserta tetapi kementerian benar-benar menyasarkan lebih daripada itu," katanya.

Sambutan Hari Sukan Negara merupakan suatu inisiatif KBS dalam usaha mencapai hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah "Negara Bersukan".

Pada ketika ini, peratusan masyarakat Malaysia yang aktif bersukan masih lagi rendah iaitu pada kadar sekitar 40 peratus berbanding antara 50 hingga 60 peratus di negara maju.

Ketika ditanya mengenai keadaan jerebu yang melanda negara ini, Khairy berkata, beliau berharap agar kualiti udara kembali pulih sebelum penganjuran temasya tersebut bulan depan.

"Kita masih berharap, masih ada kira-kira tiga minggu lebih lagi dari sekarang. Diharap agar hujan turun dan menghilangkan kesan jerebu itu," katanya.

Namun, beliau berkata, kementeriannya menerusi Institut Sukan Negara (ISN) akan terus memantau Indeks Pencemaran Udara (IPU) dari semasa ke semasa.

"Jika IPU mencecah bacaan 200, maka kita akan menangguhkannya. Saya tidak akan mengambil risiko terhadap kesihatan seseorang hanya kerana kita perlu menganjurkan Hari Sukan Negara," katanya.

Artikel Sebelum

6.7 Juta Tiada Lesen Memandu

Artikel Lain