suria

Siasat Segera DEIG - Adun BN Selangor

Budiman Mohd Zohdi
SHAH ALAM: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Selangor mahu pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berhubung Darul Ehsan Investment Group (DEIG) yang menimbulkan keraguan pelbagai pihak.

Setiausaha Adun BN Selangor Budiman Mohd Zohdi berkata sekiranya terbukti wujudnya pelanggaran dan ketidakpatuhan dalam kod dan etika, peraturan ataupun enakmen melibatkan DEIG, tindakan undang-undang harus diambil terhadap Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.

"Kami ADUN BN Selangor mendesak pihak-pihak berkaitan seperti Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Selangor, SPRM, Jabatan Audit Negara dan Jabatan Peguam Negara menjalankan siasatan dengan kadar segera (mengenai DEIG).

"Ini kerana rakyat masih keliru dan bimbang kerana tiada langsung jawapan munasabah yang diberikan Mohamed Azmin mengenai DEIG," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Umno Selangor di sini Selasa.

Pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor baru-baru ini, Mohamed Azmin berkata DEIG, yang ditubuhkan bagi menguruskan pelaburan anak-anak syarikat di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), memberi fokus kepada sektor pelaburan, aset dan perniagaan semata-mata.

Beliau berkata entiti yang dimiliki sepenuhnya oleh MBI itu ditubuhkan untuk mengurangkan impak dan risiko perniagaan secara terus terhadap kerajaan negeri.

"MBI pula akan memberi tumpuan kepada kerja-kerja kebajikan rakyat Selangor dan tanggungjawab sosial korporat," katanya.

Mohamed Azmin bagaimanapun berkata DEIG, yang ditubuhkan pada Disember 2014, masih belum memulakan operasi malah tidak terlibat dengan mana-mana transaksi sehinggalah pada awal 2016.

Dalam pada itu, Budiman yang juga ADUN Sungai Panjang meminta Lembaga Zakat Selangor menyiasat mengenai laporan polis yang dibuat mengenai isu pengagihan wang zakat bernilai RM5 juta yang didakwa melibatkan DEIG.

"Persoalan yang timbul adakah DEIG yang MB kononnya menyebut masih belum memulakan perniagaan dan operasi, wajib mengeluarkan zakat? soalnya.
DEIG, Adun BN, Budiman Mohd Zohdi

Artikel Lain