suria

Empat Anggota Tentera Maut, Trak Rempuh Pokok

Gambar hiasan.

SIBU: Empat anggota tentera maut dan 13 anggota lagi cedera apabila trak yang mereka naiki terbabas dan merempuh pokok di bahu jalan di Km 9, Jalan Tunku Abdul Rahman di sini malam Isnin.

Dua daripada mereka yang maut di tempat kejadian dikenali sebagai prebet Wan Farhan Wan Azizan yang berasal dari Perlis dan prebet Ismail Borhan dari Perak.

Kedua-duanya yang berusia 23 tahun dilapor baru berkhidmat di sini awal Julai lalu, kata sumber polis.

Dua lagi yang maut di wad kecemasan Hospital Sibu ialah prebet Freedleeboy George, 27, dari Sabah dan prebet Mohd Radzi Abdul Razak, 23, dari Perlis.

Anggota yang cedera parah ialah prebet Mohd Azizi Abdullah, Surickson Dolblx Benjamin dan Mohd Taqiuddin Hasli sementara yang cedera ringan prebet Abu Huzaifah Che Mohd Rozi, Nuriman Abdul Samad, Barie Saprie Aziz, Hazrin Midin, Azzery Andaun, Azman Osman, Saiful Madli, Habibain Julsali, Zaidil Faisa Zahari serta Sarjan Usin Samada.

Sumber itu berkata pemandu trak berkenaan yang berpangkat Lans Koperal tidak cedera.

Kejadian berlaku kira-kira 8.30 malam ketika trak tersebut yang membawa peralatan tentera sedang dalam perjalanan dari arah Kanowit menuju Rejimen 510 Askar Wataniah di Kem Sri Rejang, Jalan Kampung Nangka di sini.

Trak tersebut dilapor hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum merempuh pokok di bahu jalan.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Mohd Kamal Kordi berkata mayat mangsa kini ditempatkan di Hospital Sibu untuk dibedah siasat.

Pihak polis telah menjalankan siasatan dan mengambil kenyataan daripada pemandu tersebut yang kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.


tentera, maut

Artikel Sebelum

Dua Beradik Mati Lemas

Artikel Lain