suria

Masjid Perlu Jadi Sumber Kemajuan, Penentu Hala Tuju Umat - Agong

Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah (kiri) berkenan melawat Galeri Masjid Negara selepas merasmikan sambutan Jubli Emas Masjid Negara pada Khamis. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul  Halim Mu'adzam Shah bertitah masjid bukan sekadar simbol tetapi ia harus menjadi sumber kepada kemajuan dan penentu hala tuju masa depan umat Islam di negara ini.

Seri Paduka turut mahu institusi masjid diperkukuh bagi mempastikan ia mampu berperanan sebagai benteng untuk mengekang sebarang perpecahan dalam masyarakat.

Selain itu, institusi masjid juga diharap dapat membantu masyarakat mendepani isu-isu yang dihadapi mereka.

"Beta berharap institusi masjid akan sentiasa menjadi penyelesai kepada cabaran yang berlaku dalam masyakat sama ada dalam isu keruntuhan aqidah, moral dan sebagainya," titah baginda ketika melancarkan sambutan Jubli Emas 50 tahun Masjid Negara di sini, Khamis.

Turut berangkat hadir Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Tetamu lain ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Dalam pada itu, Tuanku Abdul Halim turut menekankan pentingnya kedudukan dan kesucian Masjid Negara sebagai warisan negara supaya sentiasa dijaga dan umat Islam terus mengimarahkan masjid dengan pelbagai program yang sesuai.

"Memandangkan Masjid Negara terkenal di seluruh dunia, maka sewajarnya ia sentiasa diurus berdasarkan model pengurusan cemerlang yang boleh dijadikan contoh oleh semua masjid di negara ini," titah Seri Paduka.

Tuanku Abdul Halim turut memuji kejayaan negara mewujudkan pengurusan hal ehwal Islam yang cemerlang dalam segenap bidang termasuk pengurusan institusi masjid.

Seri Paduka bertitah realitinya ialah usaha ke arah memperkasa pengurusan masjid merupakan usaha bersifat kesinambungan antara pelbagai pihak.

Pada majlis sama, Seri Paduka berkenaan melancarkan buku khas Masjid Negara serta syiling peringatan dan setem khas sempena Jubli Emas Masjid Negara.
Masjid Negara

Artikel Sebelum

Artikel Lain