suria

Tiada Salah Faham, Himpunan Bersih 4.0 Haram - Polis

Zainol Samah.

PETALING JAYA: Polis pada Rabu mengulangi pendirian mereka bahawa perhimpunan Bersih 4.0 pada 29 dan 30 Ogos ini menyalahi undang-undang dan tindakan akan dikenakan terhadap penganjur.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah selepas mengadakan satu pertemuan bersama Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Maria Chin Abdullah berkata, penganjur tidak mematuhi undang-undang sedia ada yang memerlukan mereka untuk mendapatkan kebenaran bagi menggunakan Dataran Merdeka.

Maria bagaimanapun secara berasingan memberitahu pemberita bahawa polis "telah memahami" bahawa peserta himpunan tidak akan memasuki Dataran Merdeka dan kedua-dua belah pihak masih lagi berbincang mengenai cara untuk menangani perhimpunan tersebut.

Zainol berkata, polis telah menasihati Bersih supaya tidak mengadakan perhimpunan itu tetapi mereka masih berkeras untuk meneruskannya.

"Ini merupakan pertemuan kedua dan kita memberitahu mereka bahawa mereka tidak memenuhi peraturan di bawah Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan yang dirancang diadakan pada hujung minggu ini.

"Adalah jelas bahawa perhimpunan ini haram," katanya lagi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain