suria

Penganjur Bersih 4.0 Perlu Hormati Acara Hari Kebangsaan - Salleh Said

KUALA LUMPUR: Penganjur perhimpunan Bersih 4.0 perlu menghormati penganjuran sambutan Hari Kebangsaan 2015 pada 31 Ogos di Dataran Merdeka, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak.

Beliau berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah membuat keputusan tidak membenarkan perhimpunan tersebut diadakan kerana bertindih dengan raptai sambutan peringkat kebangsaan.

"Polis sudah mengisytiharkan perhimpunan itu haram dan pemilik (tempat penganjuran perhimpunan) (DBKL) tidak memberikan permit...dan apabila tidak ada permit, perhimpunan atau demonstrasi itu sendiri dianggap tidak sah.

"Jadi penganjur perlu menghormati acara Hari Kebangsaan, dan mereka boleh mengadakan perhimpunan di mana-mana," katanya kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi dan permainan iMalaysia yang baru dibangunkan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, Selasa.

Dalam pada itu, Mohd Salleh berkata mereka yang tidak bersetuju dengan kerajaan boleh meluahkan pandangan mereka tetapi ia perlu dilakukan secara rasional.

"Tidak ada salahnya jika anda meluahkan perasaan, atau tidak bersetuju dengan kerajaan, tetapi terdapat perkara yang perlu diberi pertimbangan iaitu keselamatan dan kestabilan negara kita," kata Mohd Salleh.

Beliau menegaskan kerajaan akan terus memastikan keharmonian kaum dan agama di negara ini terpelihara, dan akan bertindak terhadap ancaman pelampau dan pengganas.

Mohd Salleh berkata setiap orang juga perlu memiliki sikap menghormati antara satu dengan lain tanpa mengira perbezaan pendapat antara mereka.

Sementara itu aplikasi telefon pintar iMalaysia yang diperkenalkan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) adalah bagi menyemai semangat kemerdekaan negara dan 1Malaysia. 

Aplikasi iMalaysia antara lain, membolehkan orang ramai berkongsi cerita mereka mengenai patriotisme, memperoleh maklumat terkini mengenai acara rasmi dan menyertai pertandingan khas dan promosi.

Permainan 1Malaysia pula mengandungi beberapa peringkat yang membawa pemainnya ke zaman tertentu dan bandar di Malaysia dan akan dihadiahkan dengan fakta-fakta sejarah apabila berjaya menyelesaikan setiap peringkat.

Artikel Lain