suria

Hashim Hassan Digelar Bapa Logo Hari Kebangsaan

Bapa logo Hari Kebangsaan Prof Hashim Hassan menunjukkan logo tema kemerdekaan hasil rekaan beliau yang pernah diguna pakai pada tahun-tahun sebelum ini. Foto: Bernama

PETALING JAYA: Ramai yang tidak mengetahui bahawa bekas Profesor Madya, Hashim Hassan merupakan insan yang bertanggungjawab mencipta logo sambutan Hari Kebangsaan Negara sebanyak lapan kali.

Sebagai pengiktirafan kepada sumbangan kreatif itu, Hashim yang kini berusia 77 tahun digelar Bapa Logo Hari Kebangsaan kerana selama lapan tahun mencipta logo Hari Kebangsaan seperti yang diamanahkan oleh Jabatan Perdana Menteri pada 1980, 1981, 1983, 1984, 1985, 1986, 1987 dan 1991.

Selepas tidak mencipta logo beliau dilantik pula menjadi anggota jawatankuasa dan panel hakim pertandingan mencipta logo hari kebangsaan yang diadakan setiap tahun sehingga ke hari ini. 

Hashim berkata, pada masa dahulu, beliau akan menghasilkan lima bentuk logo untuk hari kebangsaan dalam masa seminggu tanpa kemudahan teknologi komputer dan perdana menteri pada ketika itu akan hanya memilih satu daripadanya.

"Generasi muda hari ini yang ingin mencipta logo perlu mempunyai perkara utama iaitu perasaan cinta kepada negara kerana idea dan kebolehan kita melukis itu akan datang dengan sendirinya. |

"Ilham yang datang sendiri itu ditambah dengan kemudahan menggunakan alat-alat komputer sekarang yang begitu hebat, membolehkan generasi muda dapat menghasilkan logo dengan lebih cepat dan lebih baik lagi," kata Hashim.

Bekas pensyarah kelahiran Johor itu merupakan anak bongsu daripada lima orang adik-beradik, merupakan antara insan terpilih dalam kalangan anak Melayu yang berjaya melanjutkan pelajaran di luar negara.

Hashim menuntut di Canterbury College of Art, England pada 1965 hingga 1969 dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Reka Grafik dalam jurusan Tipografi dan Tanda serta Simbol, dan seterusnya Ijazah Sarjana daripada Universiti Ohio, Amerika Syarikat dalam Pendidikan Seni pada 1974.

Beliau yang mempunyai bakat dalam seni lukis telah berkhidmat di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM) selama 33 tahun bermula pada 1970 sebelum bersara pada 2003, dan kemudian di Universiti Selangor(UNISEL) pada 2006 hingga 2013.

Hashim yang bakal menyambut hari kelahiran yang ke-78 pada 15 Oktober akan datang mengalami masalah kesihatan dan "slipped disc" pada tulang belakang sejak beberapa tahun lalu, menyebabkan ia rosak dan membengkok ke kiri.  

Beliau yang dikunjungi oleh Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan dan Ketua Puteri UMNO Bahagian Kota Melaka, Haryati Hamdzah di kediamannya, di sini pada Selasa merasa syukur dan berbesar hati di atas kunjungan dan sumbangan yang dihulurkan.

"Saya merasa sangat bersyukur hari ini kerana masih ada orang yang mengingati saya dan menziarah saya dan saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang hadir dan menambah keceriaan hidup saya yang di hujung-hujung ini tidak begitu sihat.

"Sakit saya di belakang ini kerana tulang belakang saya pun dah bengkok sikit, hari ini rasa seperti sakit-sakit semua hilang kerana kedatangan anda semua menambah keceriaan saya," katanya.

Artikel Lain