suria

Low Yat: Saya Bantu Kaum Bumiputera Bukan Kerana Rasis - Ismail Sabri

Ismail Sabri Yaakob.

KANGAR: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakannya membantu kaum Bumiputera atau apabila bercakap mengenai Mara (Majlis Amanah Rakyat) bukan kerana rasis.

"Kita tidak pernah menganggap menteri kaum Cina yang meminta ditambah guru-guru di sekolah-sekolah aliran Cina atau sebagainya sebagai rasis. Mengapa pula saya dituduh rasis apabila hendak menolong kaum Bumiputera.

"Jika mereka hendak bercakap (tuduh rasis) teruskanlah tetapi hendaklah rasional," katanya bagi mengulas tuduhan beliau rasis kerana mahu kompleks seperti Plaza Low Yat di ibu negara dibina khusus untuk orang Melayu berniaga.

Beliau bercakap pada sidang media selepas majlis ramah mesra dengan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) seluruh Perlis di sini, Khamis.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO itu berkata tidak adil menteri-menteri berbangsa Melayu dituduh rasis kerana membela kaum mereka.

Ismail Sabri berkata, beliau menyentuh Low Yat bukan dengan niat tidak baik tetapi kerana ia merupakan model arked perniagaan yang berjaya untuk dicontohi orang Melayu dan bukan untuk bersaing.

Katanya, Mara ditubuhkan bagi menjaga kepentingan orang Melayu dalam bidang pendidikan dan ekonomi termasuk memberi pinjaman dan sebagainya yang seharusnya difahami kaum lain.

"Sebenarnya mereka yang melabel saya rasis lebih rasis," katanya yang kecewa dengan sikap segelintir rakyat Malaysia. - Bernama

Ismail Sabri Yaakob, Low Yat

Artikel Lain