suria

Bank Negara Tidak Siasat Akaun Najib

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengesahkan tidak melakukan siasatan berhubung penyaluran dana sebanyak RM2.6 bilion yang didepositkan ke akaun Perdana Menteri, Datuk Seri najib Tun Razak.

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, peruntukan undang-undang tidak membenarkan pihaknya melakukan sebarang siasatan terhadap akaun individu atau perniagaan.

"Ini bukan skop BNM. Bank pusat hanya membantu badan penguatkuasa lain yang menyiasat berdasarkan peruntukan undang-undang.

"Ini sahaja yang kami boleh buat. Kami tak boleh ambil tindakan terhadap mana-mana individu atau perniagaan," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Bagaimanapun Zeti mengakui pihaknya sedang menyiasat berhubung 'pematuhan institusi kewangan' berhubung kontroversi dana berkenaan.

"Kami sedang menyiasat tentang pematuhan institusi kewangan berhubung isu ini...itu sahaja yang boleh saya nyatakan," kata Zeti tanpa menyebut nama institusi kewangan yang dimaksudkannya.

Beliau menjawab soalan sama ada BNM menerima aduan transaksi mencurigakan (STR) daripada bank tertentu mengenai derma politik yang dimasukkan ke akaun individu.

Mengulas lanjut Zeti berkata institusi kewangan berkaitan seharusnya membuat aduan STR kepada BNM sekiranya berlaku transaksi yang mencurigakan.

"Institusi perbankan seharuskan melakukan siasatan. Jika semuanya dalam keadaan baik, mereka tak akan maklumkan kepada kita.

"Tapi jika mereka mengesyaki sesuatu yang tak kena, STR perlu dihantar kepada Bank Negara," katanya.

Pada awal Julai, The Wall Street Journal dan Sarawak Report mendakwa kira-kira AS$700 juta (RM2.6 bilion) disalurkan ke dalam akaun bank Najib melalui 3 syarikat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bagaimanapun pada 3 Ogos, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan dana RM2.6 bilion itu merupakan sumbangan derma politik.

Agensi itu bagaimanapun, tidak mendedahkan sumber derma itu.

1MDB, Bank Negara Malaysia

Artikel Lain