suria

KKIA: Kementerian Pengangkutan Campur Tangan Jika Isu Perpindahan AirAsia Tak Selesai

Liow Tiong Lai.

SHAH ALAM: Kementerian Pengangkutan akan campur tangan dalam pertikaian mengenai perpindahan AirAsia Bhd di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sekiranya perkara itu tidak dapat diselesaikan.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, perpindahan syarikat tambang murah itu ke Terminal 1 dari Terminal 2 di KKIA sudah lama tertangguh dan perlu diselesaikan secepat mungkin antara AirAsia dan pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

"Yang penting sekali ialah keselesaan pelancong dan penumpang serta kepentingan negara," katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Nissan 4S di Glenmarie di sini, Rabu.

Liow mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes pada Rabu bahawa syarikat tambang murah itu tetap dengan keputusannya tidak berpindah ke Terminal 1 KKIA, walaupun terdapat arahan menteri supaya berbuat demikian.

Fernandes berkata, perpindahan ke Terminal 1 dari Terminal 2 akan menyebabkan kesesakan teruk di lapangan terbang itu dan cukai lapangan terbang, yang akan dinaikkan sebanyak RM35, boleh 'membunuh' industri pelancongan Sabah.

Pad Selasa, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, semua syarikat penerbangan termasuk AirAsia dikehendaki berpindah ke Terminal 1 KKIA bagi menampung lebih ramai penumpang penerbangan domestik dan antarabangsa.

Artikel Lain