suria

Tiada Sidang Khas Parlimen Lantik Pengerusi Baharu PAC

Azalina Othman Said.

PETALING JAYA: Kabinet memutuskan untuk tidak mengadakan sidang khas parlimen bagi melantik pengerusi baharu Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pengerusi PAC akan dilantik oleh Jawatankuasa Pemilih apabila Parlimen bersidang pada Oktober ini.

Menurutnya, ia mengambil kira pertukaran jawatan ketua pembangkang serta susulan rombakan Kabinet baru-baru ini maka terdapat keperluan untuk melantik atau menggantikan Ahli Jawatankuasa Pemilih yang baharu sebelum jawatankuasa itu bertindak untuk melantik Ahli Jawatankuasa PAC.

"Kabinet telah membuat keputusan untuk melakukan pertukaran Jawatankuasa Pemilih dan pelantikan pengerusi serta ahli jawatankuasa PAC pada sidang Parlimen pada 19 Oktober.

"Keputusan ini berikutan kerajaan mengambil kira beberapa faktor utama termasuk masa yang diperlukan untuk nama-nama baharu dicadangkan untuk menggantikan beberapa ahli jawatankuasa pemilih yang sedia ada di mana kerajaan tidak boleh tergesa-gesa dalam soal pelantikan ahli jawatankuasa pemilih yang merupakan jawatankuasa paling penting sebelum mana-mana jawatankuasa lain dapat dilantik termasuk PAC," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Azalina berkata, setelah itu, PAC dapat meneruskan semua tugas-tugas yang diamanahkan kepada mereka termasuk prosiding siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau menegaskan bahawa kerajaan sama sekali tidak menangguhkan prosidng siasatan terhadap 1MDB oleh PAC dengan sengaja.

"Prosiding tersebut dapat diteruskan selepas pelantikan pengerusi dan ahli jawatankuasa PAC yang baharu, dilakukan pada 19 Oktober nanti.

"Pada masa sama, PAC juga diharapkan dapat memulakan kembali siasatan terhadap 1MDB selepas laporan penuh Ketua Audit Negara mengenai 1MDB disiapkan untuk diteliti oleh PAC," kata Azalina.



Azalina Othman Said, PAC

Artikel Lain