suria

Mahkamah Tolak Permohonan Palanivel Bagi Ganti Rugi RM1 Juta

KUALA LUMPUR: Bekas presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi bagi ganti rugi RM1 juta atas penderitaan dialaminya sepanjang tempoh injunksi diperoleh pengerusi MIC Cawangan Ampang Jaya Datuk N. Muneandy.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Wahab menolak permohonan Palanivel itu di dalam kamar, pada Rabu.

Peguam mewakili Muneandy, A.Vasanthi memberitahu pemberita, mahkamah memutuskan anak guamnya mempunyai locus standi (kedudukan di sisi undang-undang) untuk mengambil tindakan itu terhadap Palanivel dan injunksi itu diperoleh secara sah.

"Mahkamah juga memutuskan Muneandy mempunyai alasan kukuh untuk memperoleh  injunksi itu," katanya.

Pada 6 Julai, Muneandy memperoleh perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi untuk menghalang Palanivel daripada menjalankan tugas sebagai presiden MIC, mengadakan sebarang perhimpunan parti dan meluluskan sebarang resolusi bagi pihak parti.

Pada 2 Julai, Muneandy memfailkan saman pemula terhadap Palanivel bagi  memohon injunksi itu.

Selepas lapan hari memperoleh injunksi itu, Muneandy menarik balik saman pemula itu selepas Mahkamah Rayuan menolak rayuan Palanivel untuk membatalkan arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS) bagi parti itu mengadakan pemilihan baharu.

Semasa menolak rayuan Palanivel pada 13 Julai, Mahkamah Rayuan memutuskan RoS tidak bertindak di luar bidang kuasanya apabila mengeluarkan arahan supaya MIC mengadakan pemilihan baharu.

Palanivel, dua bekas naib presiden MIC Datuk S. Sothinathan dan Datuk S. Balakrishnan, dan bekas setiausaha agung MIC A. Prakash Rao merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 15 Jun yang menolak permohonan mereka bagi semakan kehakiman untuk membatalkan arahan RoS.

G. Palanivel, N. Muneandy, MIC

Artikel Lain