suria

Penoreh Getah Maut Dibelasah Di Sik

SIK: Seorang penoreh getah maut selepas dibelasah dalam kejadian yang berlaku kira-kira 2.30 pagi, Isnin di rumahnya di Kampung Lubuk Nami, dekat sini.

Mangsa, Mohd Shakir Saidin, 36, dipercayai penagih dadah ditemui mati dalam keadaan terlentang di halaman rumahnya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superitendan  Mohd Ismail Ibrahim ketika ditemui Bernama berkata, hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan lebam, bekas dicekik, serta tulang rusuk patah pada badan mangsa.

Siasatan awal katanya mendapati kejadian disyaki berpunca daripada dadah, dan polis turut menemui satu tiub kecil dipercayai dadah jenis Heroin di dalam poket seluar yang dipakai mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Beliau berkata, susulan kejadian berkenaan, polis menahan empat suspek lelaki berusia antara 19 dan 63 tahun, untuk membantu siasatan.

"Polis masih menyiasat sama ada mangsa mempunyai rekod jenayah, bagaimanapun keempat-empat suspek tiada rekod jenayah. Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini," katanya.

Sementara itu, jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lubuk Nami, petang Isnin.-- Bernama

Artikel Lain