suria

GLIC, G20 Terajui Malaysia Merealisasi Status Negara Berpendapatan Tinggi - PM

Najib Tun Razak.

KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan Kelab G20 akan diwujudkan pada Januari depan bagi menerajui usaha Malaysia ke arah merealisasikan status negara berpendapatan tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kelab ini mempunyai peranan penting dalam menerajui semua usaha untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi, berpandukan tiga prinsip asas Program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLCT)," katanya.

G20 terdiri daripada 20 GLC utama.

Berucap pada Majlis Program Graduasi GLCT dan Hari Terbuka GLC 2015 di sini Jumaat, Perdana Menteri berkata kelab itu juga akan dibuka kepada seluruh korporat Malaysia.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata GLC bukan sahaja perlu berusaha untuk menjadi juara serantau, bahkan sebagai pemimpin dalam industri masing-masing.

Selain bekerjasama dengan kerajaan untuk membantu membentuk agenda negara, GLC juga perlu berkembang daripada syarikat yang ditadbir urus dengan baik kepada model institusi model yang kukuh dan bertanggungjawab.

"Kita mahu menjadi peserta penting dalam pasaran global.

"Oleh itu, kita mesti berupaya untuk menawarkan bukan sahaja produk dan perkhidmatan bertaraf antarabangsa, malah turut menerima pakai dan menyesuaikan amalan terbaik untuk memastikan penjanaan nilai jangka panjang," katanya.

Dalam tempoh 10 tahun lepas, Najib berkata GLC telah menyumbang RM108.6 bilion dalam bentuk dividen dan RM62.7 bilion dalam bentuk cukai, menyediakan peluang perniagaan baharu dalam melaksanakan program pembangunan vendor.

Beliau berkata pada 2014, bilangan pembekal yang menjalankan perniagaan dengan G20 hampir 67,000, dengan nilai perniagaan sebanyak RM98.2 bilion.

"Dalam mengimbangi antara modal ekonomi rakyat, GLC telah meningkatkan kesejahteraan komuniti kita melalui pelbagai aktiviti tanggungjawab korporat," katanya.


GLIC, G20, Najib Tun Razak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain