suria

Serangan Misteri Jam 4 Pagi Syawal...

Mat Teh O yang kemudiannya digelar Mat Punca dikatakan menjadi penyebab misteri yang melanda keluarga besarnya menjelang Syawal. Tapi dia tidak bersalah dalam hal ini. Dia cuma mangsa keadaan.

MAT Teh O tidak bersalah dalam hal ini. Mana mungkin dia dipersalahkan kerana dia hanya berusia setahun tiga bulan. Tetapi oleh kerana dia yang menjadi punca, maka dia kini digelar 'Mat Punca' pula. Kasihan Mat Teh O.

Dulu dia digelar Mat Teh O kerana dia sukakan Teh O. Kini dia digelar Mat Punca kerana dialah dikatakan menjadi punca kepada apa yang melanda keluarga besar Mat Teh O menjelang Syawal. Tetapi Mat Teh O tetap tidak bersalah. Dia tidak tahu apa-apa.

Sehari sebelum 1 Syawal, semua orang sudah berkumpul di Simpang Ampat - tempat di mana raya tahun ini diraikan. Ia adalah kediaman rasmi ibu-bapa Mat Teh O. Kediaman tidak rasmi keluarga Mat Teh O ialah di Kangar, Perlis - negeri di mana bapanya bertugas.

Cerita ini bermula dua hari sebelum itu. Mat Teh O telah dibawa ke sebuah kedai peralatan rumah kerana ibunya - seorang yang ceria dan sukakan suasana pasar raya - ingin membeli beberapa lagi peralatan dapur dan bilik sebagai persediaan terakhir untuk menerima tetamu dari Kuala Lumpur. Tetamu mereka adalah keluarga besar abang-abang ibu Mat Teh O.

"Kami rasa Mat Teh O terkena di sana...masa kami pi sana, orang ramai sungguh. Mungkin kena virus di sanalah kot," kata ibu Mat Teh O penuh yakin.

"Yang pasti ini bukan Virus Rota...Ini sesuatu yang luar biasa. Virus ni airborne...berterbangan di udara dan mencari hos yang lemah," kata abang sulung ibu Mat Teh O yang anak-anak saudaranya memanggil dia dengan gelaran 'Bapak'.

"Macamana Bapak tahu ini bukan Virus Rota. Siapa yang kena semua muntah-muntah dan cirit-birit...semua tu petanda-petanda Virus Rota," kata Kak Yong, anak saudaranya.

"Kalau Rota, kita semua dah kena serentak...tapi ini tidak. Sehari ia hanya menyerang dua mangsa. Dia tidak menyerang serentak macam Rota," ujar Bapak.

Kesemua mereka menyangka seluruh isi keluarga itu terkena Virus Rota. Mat Teh O adalah mangsa yang pertama.

Dia muntah di atas tangan Aidil, sepupu yang mendukungnya pada malam 1 Syawal. Semua orang ingat perut Mat Teh O masuk angin. Ibunya dengan segera menyapu minyak angin. Tetapi sejam kemudian Mat Teh O muntah lagi.Kali ini di atas riba bapa saudaranya, Atei.

Selepas itu, Mat Teh O kembali cergas bermain seperti biasa. Dia tidak menunjukkan apa-apa petanda luar biasa. Dan malam itu berakhir tanpa apa-apa insiden.

Tetapi menjelang jam 4 pagi, kedengaran suara seseorang sedang meneran...cuba mengeluarkan apa jua benda yang berada di dalam isi perutnya. Orang itu adalah Ayos, abang kepada Si Aidil. Dia muntah dan muntah dan muntah tanpa henti sehingga terkelepuk keletihan.

"Kenapa kau Yos? Kau muntah ke?" tanya Bapak yang juga bapa kandung kepada Si Ayos dalam keadaan separuh sedar. Dia sempat memerhatikan jam besar di dinding. Sudah pukul 4.34 pagi.

"Ni bukan muntah biasa...ni tahap gaban punya muntah sampai tak dak apa nak dimuntahkan lagi."

Apabila matahari mula meninggi di ufuk Timur, Si Ayos kembali berlari ke arah tandas. Kali ini dia tidak muntah.  Sebaliknya, Si Ayos ke mangkuk tandas. Dia cirit-birit. Pun tidak henti-henti. Setiap sepuluh atau dua puluh minit dia berulang-alik ke tandas.

Di bilik bawah, Aidil mengerang kesakitan. Sakitnya bukan kepalang.

"Kenapa kau pulak Dekdek? Kau pun sama macam Ayos ke?" tanya Bapak.

Aidil yang digelar 'Tom Kurus' (sempena nama Tom Cruise - rupa adalah sikit-sikit macam aktor itu tetapi kurus kedeking) berguling-guling di atas katil - jauh sekali kelihatan gagah macam Tom Cruise.

Ayos (kiri) dan Tom Kurus

Bapak bertambah kehairanan.

"Kau orang semua keracunan makanan ke? Makan apa semalam...," tanya dia lagi tanpa menerima sebarang jawapan.

Ayos muncul. Dia segera mencari Aidil.

"Kau pun kena ke."

"Aku masuk tandas jam 4 pagi. Kau pulak?"

"Lebih kurang...jam 4 lebih camtu," kata Aidil sambil mengerang dan minta supaya belakangnya digosok.

"Semalam bukan Mat Teh O muntah atas lengan kau ke?," tanya Ayos.

"Ya...kenapa?"

"Tapi camana aku pun kena sekali...aku tak dukung pun Mat Teh O," jawab Ayos.

"Kau ada makan apa-apa benda basi tak."

"Apa kau merepek ni. Kalau aku makan makanan basi, satu keluarga ni dah cirit-birit sekarang. Semua orang balun makanan yang samalah."

Bapak enggan melengah-lengahkan masa lagi. Dia bawa Si Ayos dan Aidil aka Tom Kurus ke klinik di Bukit Mertajam.

Dengan segera doktor mengesyaki Virus Rota. Mereka diberi suntikan dengan dos yang kuat. Dalam perjalanan balik, Bapak ternampak gerai kelapa muda di tepi jalan. Dia memberhentikan kereta. Dia turun dan membeli empat biji.

Dia paksa Ayos dan Aidil minum air kelapa itu. Mereka enggan. Bapak paksa. Mereka tiada pilihan. Mereka minum. Tidak lama kemudian keadaan menjadi normal. Pada ketika ini, tiada ahli keluarga yang lain yang diserang muntah-muntah atau cirit-birit lagi sehinggalah menjelang jam 4.16 pagi Raya ketiga.

****

Suara mengerang Pak Yim dan Bang Chaq - dua abang Mat Teh O memecah keheningan pagi 3 Syawal. Kali ini ramai yang terjaga. Maklum sajalah, suara budak mengerang kesakitan. Semua segera menyerbu ke bilik utama satu persatu.

"Kenapa Adu? Siapa yang menangis..."

"Ni Pak Yim dan Bang Chaq pulak...muntah habis penuh satu tilam," kata ibu mereka.

Apabila hari siang, seluruh isi keluarga berkumpul di ruang tamu bagaikan satu mesyuarat agung luar biasa. Kesemuanya tertanya-tanya virus apakah yang melanda keluarga ini. Sekali lagi nama Rota muncul sebagai topik paling hangat. Tetapi pandangan itu disanggah oleh Bapak.

Bapak sekali lagi mempertahankan teori bahawa virus seperti Rota menyerang mangsanya serentak. Begitu juga dengan keracunan makanan. Kalau kes ini kes keracunan makanan, kesemua isi rumah akan kena serentak. 

Dalam kes yang melanda keluarga Mat Teh O, ia hanya mula menyerang menjelang jam 4 pagi. Itulah yang menjadi misteri paling besar. Kenapa jam 4 pagi? Kenapa tidak 1 pagi atau 2 pagi atau 3 pagi. Kenapa bakteria ini hanya memilih jam 4 pagi ke atas untuk menyerang. Juga ia tidak menyerang mangsanya serentak. Setiap serangan hanya memilih dua orang mangsa sahaja.

Tetapi kenapa virus ini hanya memilih dua orang mangsa sahaja? Mangsa yang macam mana yang ia pilih untuk menyerang. Kenapa tidak serentak semua orang. Ini juga mencetuskan misteri berpanjangan kepada keluarga itu. Mereka dahagakan jawapan tetapi jawapan yang dicari-cari itu tidak kesampaian.

Mereka bersidang berjam-jam lamanya. Hari demi hari. Dan setiap hari yang berlalu akan diikuti dengan dua mangsa. Lepas Pak Yim dan Abang Chaq, Fayad dan bapanya Roslan pula. Kemudian Acu Fikar dan anaknya Opek. Lepas itu Atei dan isterinya Ila dan anak-anak mereka, Kak Yong dan Dik Ir. Namun mereka tidak juga menemui jawapannya.

Cuma yang berjaya dikesan ialah paten ia bertindak. Bermula jam 4 pagi dan ke atas. Bermula dengan muntah-muntah sehingga ke subuh. Kemudian berhenti. Lepas itu dikuti dengan cirit-birit di siang hari. Ia juga tidak berhenti-henti sehinggalah menjelang petang. Kemudian ia berhenti dengan sendirinya.

Keseluruhannya, bakteria ini bertindak ke atas mangsanya selama satu setengah hari. Ia menutup serangannya dengan sakit di seluruh sendi badan. Selepas itu ia sembuh dengan sendiri dan mencari hos seterusnya.

Paten ini dikesan oleh tidak lain dan tidak bukan, kepala keluarga itu sendiri iaitu Bapak.

Bapak memanggil satu lagi sidang tergempar seluruh isi keluarga tersebut pada Syawal kelima untuk memaklumkan penemuan paten serangan bakteria itu. Oleh kerana mereka tidak menemui jawapan kepada pelbagai persoalan yang diajukan sebelum ini, mereka menerima teori Bapak tanpa banyak soal lagi. 

Mereka akur dengan pemerhatian yang dilakukan oleh Bapak.Lagi pun Bapak adalah Bapak. Dia yang paling berpengalaman dalam keluarga itu. Kalau tidak, tak lah dia digelar Bapak --- Bapak kepada segala bapa yang ada dalam keluarga ini.



Bapak juga mengumumkan, hasil daripada pemerhatiannya, kesemua mangsa bakteria ini kembali bertenaga dan hilang sakit sendi beberapa jam selepas mereka minum air kelapa muda. Kenapa kelapa muda?

Menurut Bapak, hasil daripada pembacaannya, air kelapa muda mengandungi alkali yang tinggi yang dapat meneutralisasikan apa jua bakteria jahat dalam perut.

Sebenarnya, kata Bapak, air kelapa adalah anugerah alam yang paling magikal yang pernah diberikan oleh Tuhan kepada manusia. Air kelapa, kata Bapak menguatkan sistem imun, melawan bakteria dalam perut dan infeksi.

"Mana Bapak tau semua ni," tanya Dik Ir, adik kepada Kak Yong.

"Baca bukulah..."

Mat Teh O yang menjadi hos pertama kepada bakteria luar biasa ini tiba-tiba menyapa; "Aaaaaargh...Aaaaaargh...Aaaaargh."

Bunyi macam Zombi tapi dia seolah-olah mengiyakan apa yang dikatakan oleh Bapak.

"Patutlah Bapak tak kena...Bapak minum air kelapa," kata Opek.

Semua orang ketawa. Hanya seorang sahaja yang tidak ketawa. Orang itu ialah Mat Teh O...

Mat Teh O, Bapak, Rota, Mat Punca

Artikel Lain