suria

Pati Warga China Rempuh Palang Pemeriksaan Imigresen

ALOR SETAR: Jabatan Imigresen Kedah menahan seorang lelaki tempatan dan seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga China ketika cuba meloloskan diri semasa pemeriksaan di laluan Kompleks ICQS, Bukit Kayu Hitam, petang Khamis.

Pengarahnya Mohamad Yusri Hashim berkata lelaki tempatan berumur 46 tahun daripada Kubang Pasu itu dipercayai mengambil upah menjadi tekong menyeludup keluar PATI berumur 48 tahun itu.

"Pada 3.20 petang semalam, lelaki tempatan menaiki Proton Saga telah memasuki lorong kereta ke Thailand di Kompleks ICQS, Bukit Kayu Hitam manakala warga China duduk di bahagian belakang. Kedua-duanya gagal menunjukkannya sebarang dokumen apabila diminta.

"Pemandu telah merempuh palang pemeriksaan dan memecut masuk ke arah Thailand tetapi berjaya ditahan di kawasan kompleks bebas cukai manakala warga China itu ditahan ketika bersembunyi di dalam kompleks berkenaan 20 minit kemudian," katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya, warga China yang ditahan itu turut dikesan memiliki kerakyatan Taiwan dan cop dalam pasportnya dipercayai palsu.

Lelaki warga tempatan yang ditahan telah dihantar ke lokap Imigresen di Jitra manakala warga China terbabit dihantar ke lokap Imigresen Alor Setar.

Mohamad Yusri berkata lelaki tempatan itu akan disiasat di bawah Seksyen 56 (1)(d) Akta Imigresen 1959/63 sementara warga China itu pula disiasat mengikut Seksyen 12 (1)(b) Akta Pasport dan Seksyen 56 (1)(l) Akta Imigresen.

Bukit Kayu Hitam, China

Artikel Lain