suria

Pengurus Agensi Perladangan Lantik Syarikat Isteri Bekal Lembu

KUANTAN: Seorang pengurus besar sebuah agensi perladangan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis kerana dipercayai menyalahgunakan kedudukannya untuk melantik syarikat milik isterinya untuk membekalkan sebanyak 79 ekor lembu untuk sebuah projek ternakan di Rompin, Pahang, empat tahun lalu.

Suriadi Abdul Jalal, 54, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 10.20 pagi,  12 Mei.

Nilai projek tersebut ialah sebanyak RM100,000.

Suriadi dituduh mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa raya SPRM, Syafinas Shahabudin.

Hakim Habibah Mohamed Yusoff membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 28 Julai 2015.

Lembu, Perladangan

Artikel Lain