suria

Pencuri Pakaian Dalam Wanita Diberkas

Sebahagian daripada pakaian dalam wanita yang dipamerkan di luar pejabat pengurusan kondominium bagi memudahkan pemilik datang menuntut pakaian dalam yang sebelum ini dicuri.

GEORGE TOWN: Gara-gara sehelai bra merah, seorang lelaki akhirnya ditangkap kerana terlalu obses terhadap pakaian dalam wanita.

Lelaki yang didakwa mencuri lebih daripada 1,000 helai pakaian dalam wanita itu ditangkap oleh penduduk dan pihak pengurusan dua blok kondominium berhampiran Jalan Masjid Negeri.

Penangkapan itu juga menamatkan teka-teki mengenai insiden kehilangan pakaian dalam yang berpanjangan di kawasan itu.

Pencuri berusia 32 tahun itu tinggal bersendirian di sebuah bilik yang disewanya di salah satu unit kondominium terbabit.

Perbuatannya dikesan apabila dia bertindak mencuri sehelai bra berwana merah yang digantung oleh seorang anggota jawatankuasa kondominium itu berhampiran pagar dapur sebagai umpan.

Tindakannya disedari seorang pengawal keselamatan yang kemudiannya mengikut suspek ke unitnya.

"Kemudian kami panggil polis. Mereka masuk dan mendapati coli merah tersebut ada padanya," kata pegawai pengurusan kondominium, yang enggan namanya disiarkan.

Bagaimanapun serbuan mereka akhinya mengejutkan apabila melihat bilik lelaki itu dipenuhi dnegan bra, seluar dalam, kain dalam dan anak baju wanita.

Selain itu polis turut menemui pelbagai alatan yang mungkin digunakan untuk 'memancing' bagi mendapatkan pakaian dalam berkenaan seperti batang penyapu, tiang boleh laras dan penyangkut baju dawai.

"Barang-barang kepunyaannya sendiri diletakkan dalam kotak kertas namun almari pakaiannya dipenuhi dengan pakaian dalam dicuri.

"Pakaian dalam itu dilipat dengan begitu kemas. Malah cangkuk pada bra yang dicurinya semua dikemaskan," kata pengurus itu sambil memberitahu bahawa polis telah menahan lelaki itu.

Katanya, dia menghabiskan banyak termasuk berjaga lewat malam untuk mengesan pencuri itu melalui rakaman CCTV.

Namun menurutnya pencuri itu cukup bijak kerana dia mengelak melalui lif dan koridor yang dipasang dengan kamera.

Pihak pengurusan kini dibebani dengan masalah baru iaitu apa yang perlu dilakukan dengan pakaian dalam wanita termasuk kanak-kanak yang ditemui itu.

Barang 'rampasan' itu diletakkan di luar pejabat pengurusan kondominium bagi memudahkan pemilik datang menuntutnya.

Namun hanya beberapa orang tampil ke hadapan untuk membuat tuntutan.

"Bra paling mahal yang dilaporkan dicuri adalah berharga sekitar RM600," kata pengurus itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain