suria

1MDB: DAP Akan Terus Sokong Tony Pua

Lim Guan Eng
GEORGE TOWN: DAP akan terus menyokong Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua, yang telah digesa supaya menarik diri daripada Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) kerana didakwa bersikap berat sebelah memberikan kenyataan media dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada Selasa berkata parti itu akan terus menyokong Pua  dan tidak akan melayan sebarang panggilan untuk beliau meletak jawatan selepas ini.

"Ini (1MDB) adalah isu yang amat besar jadi saya tidak faham mengapa ada pihak tertentu yang cuba untuk menyingkirkan Tony Pua dari PAC, hanya kerana beliau menyuarakan tentang skandal 1MDB itu.

"Saya rasa ini adalah kepentingan negara dan sebagai ahli Parlimen, beliau mempunyai tanggungjawab untuk bercakap mengenai 1MDB.

"Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan telah berkata bahawa tidak ada apa-apa yang salah, jadi mengapa semua orang yang tidak terlibat dalam PAC ini jadi penyibuk. Jangan jadi penyibuk. Jangan bising kerana PAC yang akan membuat keputusan, bukan orang luar yang penyibuk yang akan buat keputusan, " katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan Pusat Onkologi Adventist di Hospital Adventist P.Pinang di Burma Road.
1MDB, Tony Pua, PAC

Artikel Lain