suria

Muslimat PAS Menitis Air Mata Tonton Video Kenangan Nik Abdul Aziz

SHAH ALAM: Sebahagian perwakilan Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) yang hadir pada muktamar tahunan kali ke-55 parti itu pada Rabu dilihat tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja video kenangan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ditayangkan sebelum persidangan bermula.

Video berdurasi selama 15 minit itu menyelitkan pesanan, jasa dan sumbangan Nik Abdul Aziz sepanjang hidupnya.

Malah, rakaman tersebut turut menyelitkan urusan pengebumian bekas Murysidul Am PAS yang dihadiri ribuan orang.

Di dalam video tersebut, Nik Abdul Aziz turut mengingatkan semua umat Islam supaya sentiasa memartabatkan agama Islam dan pada masa sama tidak mengabaikan kewajiban dalam agama.

Susulan video tersebut, bunyi tangisan turut kedengaran, malah terdapat beberapa perwakilan yang dilihat mengesat air mata.

Video montaj tersebut disediakan oleh perwakilan dari Kelantan bagi memperingati pengorbanan Nik Abdul Aziz yang meninggal dunia akibat penyakit kanser prostat pada 12 Februari lalu.

Nik Abdul Aziz menghembuskan nafas terakhir kira-kira sejam sebaik tiba di rumahnya di Kampung Pulau, Melaka, Kota Baru, Kelantan selepas dikeluar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Beliau meninggal dunia ketika berumur 84 tahun.

Muslimat PAS, Muktamar

Artikel Lain