suria

Dewan Muslimat PAS Mula Pilih Pemimpin

SHAH ALAM: Seramai 705 perwakilan Dewan Muslimat PAS Pusat memulakan undian bagi menentukan barisan kepimpinan tertinggi sayap parti itu kira-kira pukul 12.45 tengah hari Rabu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi berkata pengundian dilakukan mengikut negeri-negeri dengan kertas undi dikeluarkan mengikut jumlah perwakilan.

"Perwakilan perlu ambil kertas undi di kaunter yang disediakan. Kertas undi akan dikeluarkan ikut jawatan yang dipertandingkan," katanya ketika berucap sebelum pengundian bermula.

Beliau berkata, kertas undi bagi setiap jawatan akan diwarnakan mengikut warna tertentu bagi melicinkan proses pemilihan tersebut.

Antara jawatan yang dipertandingkan pada pemilihan ini adalah pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, ketua dewan, timbalan ketua dewan, naib ketua dewan dan ahli jawatankuasa kerja pusat (12 jawatan).

Tumpuan kali ini terarah kepada jawatan ketua dewan apabila penyandangnya Siti Zailah Mohd Yusoff dicabar oleh Nuridah Salleh dalam pertemuan satu lawan satu.

Sementara itu, Dr Siti Mariah Mahmud akan bertemu Dr Rosni Adam dalam usaha untuk mempertahankan kedudukannya selaku timbalan.

Bagi jawatan naib ketua yang disandang oleh Mumtaz Md Nawi pula akan dicabar Salamiah Mohd Noor dalam pertembungan satu lawan satu.

Sementara itu, seramai 28 calon lagi bertanding untuk merebut 12 jawatan Ahli Jawatankuasa DMPP yang baharu.

Keputusan pengundian dijangka diumumkan pada pukul 8.30 malam Rabu.

Muslimat PAS, Muktamar

Artikel Lain