suria

Ulama PAS Beri Bayangan Mengakhiri Kerjasama Dengan DAP

Dr Mahfodz Mohamad

GOMBAK: Dewan Ulama PAS Pusat memberi bayangan bahawa kerjasama politik antara parti itu dengan DAP bakal berakhir susulan tindakan berterusan sekutu pembangkang itu memberi tekanan terhadap PAS.

Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamad berkata, tindakan campur tangan DAP khususnya ketika PAS berhadapan pemilihan parti dianggap melanggari syarat kerjasama politik dalam pakatan pembangkang.

Katanya, kenyataan bahawa DAP akan membuat keputusan berhubung kedudukan mereka dalam Pakatan Rakyat selepas Muktamar PAS kali ini merupakan tindakan provokasi.

"Ini adalah isyarat campur tangan yang jelas agar perwakilan memilih pemimpin baharu PAS yang pro dengan segala tindak tanduk DAP.

"Situasi ini memperingatkan kita dengan syarat-syarat tahaluf siyasi (kerjasama politik) yang digariskan Majlis Syura Ulama pada 2009.

"Tindakan provokatif DAP ini boleh membatalkan tahaluf siayasi atau kerjasama politik antara parti Islam dengan parti sosialis tersebut," katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Dewan Ulama pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Pusat ke-54 di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor, Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di sini.

Mengulas lanjut Mahfodz berkata, tindakan DAP memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang namun mahu meneruskan kerjasama dengan PAS adalah cubaan untuk mencampuri urursan dalaman parti Islam itu.

"DAP melancarkan pelbagai serangan provokasi terhadap batang tubuh Presiden PAS.

"Ini merupakan satu perancangan pecah dan perintah oleh DAP iaitu memecahbelahkan kesatuan pemimpin untuk mereka menguasi PAS," katanya.

PAS, DAP, Dewan Ulama

Artikel Lain