suria

Tambang Bas Ekspres: Nasib Pengusaha Jadi Persoalan

PETALING JAYA: Nasib kira-kira 200 pengusaha bas ekspres di negara ini terus menjadi teka-teki berikutan Kabinet masih belum memuktamadkan kadar tambang baharu bagi industri pengangkutan awam itu.

Walaupun Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) mahu isu itu diselesaikan sebelum Ramadan, namun ia itu terus 'sejuk' dan mereka khuatir akan ditangguhkan lebih lama.

Yang Dipertua Pembawa, Tajudin Mohd Yunus berkata isu tersebut sepatutnya diselesaikan lebih awal sekiranya kerajaan peka dengan nasib pengusaha bas terutamanya orang Melayu yang mendominasi industri ini.

"Segalanya akan selesai jika ikut seperti yang Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) umumkan beberapa bulan lalu. Kenapa perlu tangguhkan sedangkan kadar tambang baharu untuk teksi berkuat kuasa serta merta?

"Sekarang mereka ada tempoh kurang dari sebulan untuk cari jalan penyelesaian terhadap isu ini. Namun saya bimbang kadar baharu itu akan dihapuskan terus," katanya yang merujuk kepada kadar tambang baharu yang dicadangkan SPAD pada 19 Mac lalu.

Terdahulu, SPAD mengumumkan tambang bas ekspres akan naik 22.6 peratus bermula 15 Mei lalu berikutan berlakunya peningkatan kos termasuk penyelenggaraan dan insurans.

Menurut Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar, penetapan terpaksa dilakukan selepas kali terakhir semakan kadar tambang bas ekspres dibuat pada 2009.

Kenaikan tambang bas ekspres untuk perjalanan seluruh negara adalah antara RM4.60 sehingga RM11.

Namun, Kabinet memutuskan kenaikan kadar tambang baharu untuk bas ekspres ditangguhkan kerana berpendapat ianya tidak sesuai diumumkan dalam keadaan sekarang.

Ketika ditanya mengenai apa sahaja kemungkinan yang akan berlaku, Tajudin berkata beliau menyerahkan kepada kerajaan untuk membuat keputusan yang bijak namun pada masa sama berharap agar kadar tambang baharu itu disegerakan.

"Kami serahkan isu ini kepada kerajaan untuk diselesaikan. Saya dah penat buat macam-macam (usaha). Terpulanglah. Adakah anda nak lihat kami terus hidup atau sebaliknya?," katanya dalam nada kecewa.

Tajuddin berkata akibat peningkatan kos operasi sejak lapan tahun lalu, terdapat pengusaha yang mengali-babakan atau pun menjual syarikat mereka kerana tiada pilihan.

"Pada tahun 1978, kira-kira 90 peratus perniagaan bas ekpress diusahakan oleh golongan Bumiputera.  Kini bilangannya jauh lebih kecil, berlaku penurunan yang ketara," katanya.

Sementara itu, beliau turut berpendapat tambang baharu yang dicadangkan SPAD itu sebagai munasabah selepas pengusaha bas ekspres mengekalkan kadar sama sejak lapan tahun lalu.

"Saya rasa ia munasabah selepas tiada kenaikan sejak lapan tahun lalu. Jika ia dikuatkuasakan, saya rasa tidak perlu kenaikan untuk tempoh lima tahun akan datang. Ia cukup untuk menampung kos operasi kami," katanya.

bas ekspres, tambang, SPAD, Pembawa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain