suria

Abdul Karim CEO YPM Yang Baharu

Abdul Karim Mustafa.

PETALING JAYA: Datuk Abdul Karim Mustafa dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran Mara (YPM) yang baharu.

Pengumuman dibuat oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal dalam satu majlis di Kolej Polytech Mara, Rabu.

Sebelum pelantikannya, Abdul Karim, 47, berkhidmat sebagai Setiausaha Sulit Kanan Shafie dan berpengalaman bertugas sebagai wartawan di akhbar Berita Harian.

Menggalas tanggungjwab baharu yang diberikan kepada beliau, Abdul Karim berharap agar YPM dapat dilihat sebagai sebuah institusi yang memainkan peranan penting untuk membantu anak bangsa dalam segenap aspek dalam pendidikan.

Katanya, selama ini YPM hanya dikenali dengan programnya yang sedia ada seperti memberi bantuan peralatan, motivasi dan pembiayaan pendidikan.

“YPM juga harus dilihat berperanan lebih luas untuk membantu membawa keluar anak bangsa bumiputera ke arah pencapaian akademik lebih cemerlang.

“Ramai lagi yang memerlukan pembelaan, termasuk dalam bidang pendidikan agama,” katanya.

Menurut beliau, lebih banyak ruang akan dibuka kepada golongan dermawan dan korporat untuk turut sama membantu membiayai lebih ramai anak bumiputera dengan mengadakan perkongsian pintar bersama YPM.

Mengenai pelajar-pelajar tajaannya di luar negara, beliau akan memastikan wujudnya satu hubungan di antara YPM dan pelajar tajaannya di setiap peringkat.

“Kena ada ‘engagement’ sebelum dan selepas mereka pergi supaya hala tuju mereka jelas dan hubungan berpanjangan terutama dalam membentuk Alumni supaya kita dapat kesan mereka walaupun selepas pulang.

“Kita juga akan berkerjasama dengan agensi dan penaja lain,” katanya.

Abdul Karim Mustafa, YPM

Artikel Lain