suria

Warga Indonesia, Pelajar Maut Kemalangan Tiga Motosikal

MELAKA: Seorang lelaki dipercayai warga Indonesia dan seorang lagi pelajar lelaki tingkatan dua maut dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal di Kampung Gelam di sini malam Jumaat.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata Suhaiming Lemlaeh, 20, meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Katanya Muhamad Amirul Adam, 14, meninggal dunia di Hospital Melaka juga dipercayai akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan dalam kejadian kira-kira 9.30 malam.

"Motosikal ditunggang Suhaiming dipercayai terbabas ke laluan bertentangan lalu melanggar motosikal Muhamad Amirul dan satu lagi motosikal ditunggang seorang lagi lelaki Jamaludin Abdul Hadi, katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Beliau berkata Jamaludin, 46 yang membawa anaknya, Muhammad Farid Hakimi, 11, serta pembonceng motosikal Muhamad Amirul iaitu Mohd Hamdan Syahkirin Amirruddin, 17, semuanya mengalami kecederaan ringan dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Melaka, Kemalangan, Indonesia

Artikel Lain