suria

Ketua Umno Cawangan Tolak Tawaran Dr Mahathir Perjelas 'Serangan'

Ishak Maarof
PETALING JAYA: Tawaran Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjelaskan serangan tidak henti-hentinya ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kepada ahli-ahli Umno telah ditolak oleh pemimpin akar umbi.

Ketua Umno Cawangan Sungei Way Jay Ishak Maarof yang sebelum ini memberitahu bekas Perdana Menteri supaya menghentikan semua serangan ke atas Najib berkata, penjelasan tidak akan membantu memulihkan keadaan.

"Saya tidak fikir dengan bertemu dengan kami, beliau akan membantu mengurangkan ketegangan. Dalam keadaan politik yang tidak menentu ini, saya fikir lebih baik bagi Dr Mahathir menghentikan segala serangan dan membiarkan Najib menangani keadaan ini," kata Ishak kepada The Star Online.

Dr Mahathir telah menulis dalam blognya bahawa beliau berharap dapat diberi peluang untuk menjelaskan kepada akar umbi Umno tentang wang berbilion ringgit yang didakwa hilang di bawah pentadbiran Najib.

Beliau mendakwa, hanya mereka yang tidak dapat melihat sahaja yang tidak menyedari bahawa Najib telah gagal untuk memulihkan Umno yang diambil alih daripada pendahulunya Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Setelah mendengar daripada kedua-dua pihak, maka hakimilah 'serangan' saya dan sama ada saya merosakkan parti atau cuba untuk menyelamatkannya," kata bekas perdana menteri selama 22 tahun itu.

Menegaskan bahawa Najib 'tahu apa yang dilakukannya', Ishak berkata Dr Mahathir perlu memberikan Najib peluang.

"Saya tidak fikir sebagai Perdana Menteri, ketika perlu berdepan semua serangan terhadapnya, akan membuat kesilapan yang sama. Beliau tahu apa yang dilakukannya," kata beliau.

Artikel Lain