suria

Fotofit Empat Kumpulan 'EVA' Diedar

Datuk Mazlan Lazim
KOTA BAHARU: Polis Kelantan pada Khamis mengedarkan fotofit empat anggota kumpulan 'EVA' yang aktif menjalankan kegiatan samun berkumpulan di beberapa daerah di negeri ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata suspek yang dikehendaki dikenali sebagai Chong Kok Teng, 55, dari Serdang Baru, Kuala Lumpur dan Wong Kim Swee, 30, dari Shah Alam, Selangor.

Beliau berkata dua lagi suspek ialah Goh Chee Tong, 27, dari Taman Malim Jaya, Melaka dan Lee Pau Hiang, 28, dari Sungai Bakap, Pulau Pinang.

"Orang ramai yang mempunyai apa-apa maklumat mengenai suspek diminta tampil untuk membantu pihak polis," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sheilds 2015 Daerah Kota Baharu di sini, Khamis.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Rohaimi Md Isa dan Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan Ibrahim Ab Ghani.

Mazlan berkata kumpulan ini didalangi lima lelaki termasuk seorang lelaki tempatan yang masih belum dikenal pasti identitinya.

"Kita percaya lelaki tempatan itu bertindak sebagai penunjuk sasaran atau rumah yang ingin mereka masuk.

"Sasaran kumpulan ini adalah rumah tauke dan mereka melakukan aktiviti ini sebulan sekali," katanya.

Beliau berkata kumpulan berkenaan aktif sejak pertengahan tahun lepas dan telah melakukan sembilan kes samun di Tanah Merah, Kuala Krai dan Kota Baharu.

Sebelum ini, Mazlan dilaporkan berkata kumpulan ini juga telah melakukan samun di dua buah rumah iaitu di Taman Sri Bahagia di Kuala Krai dan Kampung Baung di sini pada Isnin lepas.

kumpulan EVA, Datuk Mazlan Lazim

Artikel Berikut

Artikel Lain