suria

Kerajaan P Pinang Disaran Bina DUN Baharu

GEORGE TOWN: Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas menyarankan agar kerajaan negeri membina bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu bagi menampung pertambahan jumlah kawasan DUN.

Beliau berkata pembinaan bangunan DUN di tempat baharu adalah penting dilaksanakan berikutan terdapat peningkatan permintaan berjumlah 40 kawasan dewan undangan negeri (Kadun) berbanding 24 sekarang.

"Kemajuan dan kepesatan pembangunan negeri Pulau Pinang, peningkatan permintaan serta keperluan untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat adalah tidak dapat dinafikan, maka ruang yang sedia ada adalah tidak lagi mencukupi serta sesuai untuk menampung pertambahan jumlah kawasan dewan undangan negeri," katanya ketika merasmikan mesyuarat pertama, penggal ketiga persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-13 pada Khamis.

Beliau meminta kerajaan negeri memberi pertimbangan sewajarnya untuk membina DUN baharu di atas bekas tapak pelupusan sampah di Jelutong.

"Cadangan pembinaan di tapak tersebut bukan sahaja menjadikan dewan undangan negeri berada di satu lokasi yang strategik antara kawasan pulau dan seberang tetapi juga membuktikan kesungguhan usaha kerajaan negeri untuk mentransformasikan tapak tersebut.

"Malah lokasi dewan undangan negeri di tapak ini akan menjadikan ia sebahagian dari mercu tanda pembangunan Pulau Pinang dengan mengambil kira projek "The Light' yang berada bersebelahannya. Untuk cadangan ini ahli-ahli yang berhormat boleh membahaskan perkara ini bagi dipertimbangkan sewajarnya oleh kerajaan negeri," kata Abdul Rahman.

Beliau turut Aanggota DUN untuk mematuhi peraturan semasa bersidang dan memastikan perjalanan sidang Dewan berjalan dengan teratur dan sempurna.

"Saya menyeru ahli-ahli yang berhormat agar mematuhi peraturan, memastikan perjalanan sidang berjalan dengan teratur, sempurna serta dengan penuh rasa hormat menghormati antara satu sama lain tanpa mengambil kira ideologi politik masing-masing,"

"Ini kerana matlamat Ahli Dewan ialah sama iaitu memberi perkhidmatan terbaik demi kebajikan rakyat dan negeri," katanya.

Persidangan DUN Pulau Pinang dijadual berlangsung selama lima hari.

DUN, Jelutong

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain